Perhimpunan secara aman dan protes berhemah menerusi memorandum, nota bantahan dan usul di Parlimen - itulah cara Malaysia melakukannya apabila timbul suatu kontroversi dan konflik di dunia.

Rakyat Malaysia tidak emosional dan tidak bertindak radikal dalam meluahkan kemarahan, sebaliknya mengambil sikap tegas dan bersuara lantang menyampaikan mesej kepada dunia akan pendirian mereka.

Bantahan terkini ialah terhadap isu penghinaan agama Islam dan fitnah terhadap Rasulullah melalui filem Amerika Syarikat, 'Innocence of Muslims' serta pemaparan karikatur yang menghina Nabi Muhammad SAW.

    

Menggunakan medium komunikasi yang betul dan melalui institusi perundangan terunggul, Parlimen, rakyat Malaysia sepakat dan bersatu mengutuk provokasi yang dilakukan terhadap umat Islam.   

    

Anggota Parlimen Malaysia, daripada kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang termasuk wakil rakyat bukan Islam, sebulat suara mengambil ketetapan "mengutuk sekeras-kerasnya filem yang menjadi punca kemarahan umat Islam sehingga mencetuskan siri bantahan di seluruh dunia".

    

Malaysia berpendapat kegagalan negara barat khususnya Amerika dan Perancis menyekat penerbitan dan penyiaran filem serta karikatur yang menghina kesucian sesebuah agama atas alasan kebebasan bersuara adalah satu penipuan dan hipokrasi pihak berkenaan.

    

Jumaat lepas, umat Islam Malaysia bangkit bersatu melalui Pergerakan Pemuda Umno dan Dewan Pemuda PAS, untuk menyuarakan bantahan tanpa perlu bertindak ganas dan sefanatik Sam Bacile, penganut agama Kristian yang nama sebenarnya ialah Nakoula Basseley. Nakoula menggunakan media kreatif dan imaginasi visual melampau untuk menerbitkan 'Innocence of Muslims'.

    

Dalam kedua-dua senario bantahan itu, perbezaan fahaman politik bukanlah penghalang kepada umat Islam dan bukan Islam bangkit bersatu menyuarakan mesej dan pendirian mereka.

    

Umat Islam negara ini membuktikan kepada dunia bahawa mereka meletakkan kesucian agama, Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW melebihi segala-galanya.

    

Begitulah kematangan sikap dan reaksi rakyat Malaysia dalam menyuarakan bantahan terhadap isu sensitif kemanusiaan sejagat.

Presiden Nadi Dialog Malaysia (NADI) Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor berpendapat cara rakyat Malaysia menterjemah apa jua bantahan dan reaksi, memberi contoh  baik kepada masyarakat antarabangsa terhadap sebarang usaha jahat pihak tertentu memainkan isu agama.

    

NADI ialah sebuah pertubuhan bebas dan tidak partisan yang ditubuhkan pada 2009 sebagai pusat dialog pelbagai kalangan peringkat kebangsaan dan antarabangsa mengenai isu-isu semasa.

    

Mohd Yusof berkata hal agama berhubung kait dengan isu keamanan dan bersifat global kerana bukan umat Islam sahaja yang akan menzahirkan bantahan apabila Nabi atau pemimpin agung mereka dihina.

    

"Tidakkah mereka (bukan Islam) terfikir bahawa mereka juga boleh menghadapi penghinaan seumpamanya? Oleh itu reaksi yang dilahirkan akan serentak, semua pihak akan menentang tindakan (menghina) yang tidak bertamadun ini," kata bekas menteri ini.

    

Mesej rakyat berbilang agama dan bangsa yang hidup harmoni di bumi Malaysia ini kepada dunia dalam menzahirkan protes mereka ialah perbezaan agama bukanlah lesen kepada mana-mana pihak untuk bersikap sembrono terhadap sensitiviti agama dan nilai-nilai kemanusiaan sejagat.

    

Filem murahan, Innocence of Muslims, yang begitu biadab menghina dan memfitnah Nabi Muhammad SAW ditentang hebat umat Islam di seluruh dunia,  sehingga beberapa siri bantahan di beberapa negara bertukar menjadi keganasan dan mengorbankan nyawa termasuk Duta Amerika Syarikat ke Libya, J. Christopher Stenvens dan tiga lagi rakyat Amerika pada 12 Sept lalu.

    

Belum pun reda kemarahan umat Islam terhadap penyiaran filem kontroversi itu, menyusul pula sebuah majalah satira mingguan, Charlie Hebdo di Perancis yang menyiarkan karikatur menghina Nabi Muhammad SAW.

    

Seakan perangkap yang dipasang pihak tertentu untuk menjerat dan mencetuskan konflik serta perasaan permusuhan antara agama, provokasi ini jelas mengganggu fikiran dan emosi umat Islam.

    

Jika niat Nakoula sengaja ingin mencetuskan hura-hara seperti yang didakwa dalam laporan agensi berita 22 September lepas, umat Islam di Malaysia yang bijak mengawal kemarahan mereka menyuarakan bantahan dengan demonstrasi dan perbahasan di Parlimen secara matang.

    

Sebagaimana sabda Rasulullah SAW: "Orang yang kuat bukanlah orang yang mampu mengalahkan lawannya. Sesungguhnya orang yang kuat adalah orang yang mampu menguasai dirinya ketika marah." (HR Ahmad, Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah r.a.)

Seperti kata Mohd Yusof, yang juga Pengerusi Majlis Universiti Islam

Malaysia, umat Islam mestilah mencontohi sikap sabar dan tenang Nabi Muhammad SAW ketika menghadapi penghinaan dan kecaman.

    

"Apabila memberi reaksi, umat Islam mestilah berlandaskan kepada agenda yang teratur untuk memelihara imej Islam dan tidak dipengaruhi emosi meskipun dalam hal sebegini yang memang sukar untuk mengawal emosi."

    

Dalam usaha mencari jalan menghadapi penghinaan yang datang dan pergi ini, katanya umat Islam mestilah menanganinya dengan bijaksana dan masyarakat Malaysia telah membuktikannya.

- Bernama