Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Tuntutan yang dibuat oleh NGO pendidikan Cina Dong Zong melalui perhimpunan di ibu negara semalam tindakan tidak bertanggungjawab, kata Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Puad Zarkashi.

NONE Puad berkata, kementerian telah pun memberikan bantuan dan peruntukan secukupnya kepada sekolah jenis kebangsaan mahupun sekolah kebangsaan.

"Saya boleh katakan mereka ini tidak bertanggungjawab. Kita telah lakukan pelbagai perkara untuk bantu sekolah jenis kebangsaan. Tetapi mereka masih lagi nak tuntut.

"Mengenai kekurangan peruntukan dan guru, kita dah selesaikan. Begitu juga masalah guru J-Qaf," kata Puad kepada Malaysiakini .

Sehubungan itu, Puad berkata, sikap tidak bertanggungjawab dan tidak bertimbang rasa yang ditunjukkan oleh NGO tersebut menunjukkan bahawa pertubuhan pendidikan Cina itu tidak boleh dibawa berbincang.

NONE Selain itu, Puad juga menyifatkan NGO itu juga seolah-olah tidak mahu menerima kenyataan bahawa kementerian telah berusaha dan membantu masalah yang dikemukakan.

"Pada saya, Dong Zong ini pertubuhan tidak bertimbang rasa. Masalah berkaitan sekolah jenis kebangsaan Cina kita telah atasi. Kita setuju dengan lapan perkara. Yang saya hairan kenapa nak mainkan ini sebagai isu? Mereka ini tidak bertimbang rasa.

"Bahkan banyak sekolah persendirian Cina yang kita bantu. Kita nampak dia tak boleh berbincang. Dia seolah-olah tak mahu menerima kenyataan kita telah berusaha membantu.

"Dia tidak bertimbang rasa," kata Puad lagi.

'Tiada apa yang baru'

Sementara itu, rakan sejawatannya, Datuk Dr Wee Ka Siong mempertahankan hak kumpulan pendesak pendidikan Cina itu untuk menyerahkan memorandum tersebut.

"Dalam masyarakat demokratik sesiapa sahaja boleh serahkan memorandum dan kita akan berbuat demikian," kata naib presiden MCA itu sewaktu ditemui pemberita di bangunan Parlimen hari ini.

NONE Namun timbalan presidennya, Datuk Seri Liow Tiong Lai pula menganggap tuntutan Dong Zong semalam sebagai sudah dipenuhi parti komponen Cina dalam BN itu.

"Tiada apa-apa yang baru. MCA mampu menyelesaikan masalah mereka dan kita akan buat begitu," kata menteri kesihatan itu kepada wartawan.

Semalam, kira-kira 1,000 penyokong Dong Zong berhimpun di Padang Merbok bagi mendesak kerajaan lebih mengambil berat sekaligus menyelamatkan pendidikan Cina.

Mereka membuat lapan tuntutan, antaranya supaya kerajaan menyelesaikan masalah kekurangan guru dan memberikan lebih peruntukan kepada sekolah jenis kebangsaan Cina.

Kumpulan itu juga menuntut supaya kerajaan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Gabungan Sekolah-sekolah Menengah Persendirian Cina (UEC) dan meluluskan pembinaan sekolah persendirian Cina di Segamat. 

ADS