Media sosial bukan ancaman, kata peguam-pemblog
Peguam dan pemblog menolak dakwaan kerajaan bahawa media sosial seperti Facebook dan Twitter sebagai ancaman kepada keselamatan negara.
Sebaliknya, Azhar Azizan - yang lebih dikenali sebagai Art Harun - berkata, ia hanya wadah yang memudahkan dan memaklumkan sesuatu.
Justeru, katanya, beliau saya tidak faham ketakutan kerajaan apabila Menteri Penerangan, Kebudayaan dan Komunikasi Datuk Seri Rais Yatim dan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar menyifatkan Facebook dan Twitter sebagai ancaman kepada keselamatan negara.
"Bukan Twitter dan Facebook yang bangkitkan 'Arab Spring'. Mereka lupa bahawa kebangkitan di Tunisia disebabkan pihak berkuasa bertindak terhadap penjual buah kerana tidak mempunyai permit," katanya.
Peniaga itu dilaporkan membakar diri sendiri sebagai tanda bantahan. Ia kemudiannya membangkitkan kemarahan rakyat kepada kerajaan dan disebarkan melalui Internet.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri/Ketenteraman Awam (KDN/KA) Datuk Salleh Mat Rashid sebelum ini dilaporkan berkata, polis mengakui bahawa media sosial menjadikan rakyat Malaysia berfikiran lebih "liberal" dan sanggup melakukan perbuatan yang mengancam keselamatan negara.

