'K'jaan masih ukur tanah, edar borang pada Orang Asli'
Sekumpulan wakil pemimpin NGO Orang Asli hari ini mengemukakan bantahan kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) yang didakwa masih meneruskan dasar pemberimilikan tanah kepada golongan itu.
Seorang wakil Jaringan Kampung-Kampung Orang Asli Malaysia (JKOASM), Shafie Dris berkata, Jakoa sebelum ini telahpun memberi jaminan untuk menghentikan kerja-kerja berkenaan.
Anggota jawatankuasa kerja JKOASM itu berkata, Jakoa memberi jaminan berkenaan semasa inkuiri nasional Suhakam dalam isu hak milik tanah Orang Asli yang berlangsung antara Jun hingga Oktober tahun lalu.
"Kita dapat tahu kerja-kerja ini masih dibuat bila pada bulan Jun, ada pegawai mereka membuat pengukuran dan edar borang akujanji pada Orang Asli," katanya kepada Malaysiakini hari ini.
Mereka percaya kerja-kerja mengukur tanah dan pengedaran borang berkenaan merupakan usaha untuk menjalankan Dasar Pemberimilikan dan Pembangunan Tanah Orang Asli, yang tidak dipersetujui mereka.
Selain Shafie, seramai 30 orang wakil Orang Asli daripada Kelantan, Pahang dan Perak turut hadir bagi menyerah surat bantahan tersebut.
Shafie berkata lagi, Jakoa tidak sepatutnya melakukan kerja tersebut kerana keputusan bagi daripada inkuiri tersebut masih belum dibuat.
"Walaupun Suhakam belum keluarkan hasil, tapi Jakoa tidak tunaikan janji. Mereka masih teruskan dengan dasar ini," katanya.
Borang persetujuan
Seorang lagi wakil JKOASM Yusri Ahon, ketika dihubungi menjelaskan, borang akujanji yang diberikan oleh Jakoa bertujuan memberi persetujuan kepada dasar pemberimilikan tanah oleh kerajaan.
"Borang itu dia bagi untuk pujuk kita setuju dengan projek-projek yang melibatkan dasar pemberimilikan," katanya.
Katanya, perkara itu dikesan berlaku di kawasan penduduk Orang Asli di Kampung Pasu dan Kampung Paya Sendayan di Pahang.
Selain itu memberi borang, menurut Yusri lagi, kerja-kerja mengukur tanah juga telah dilakukan di kampungnya, kampung Sungai Mai dan Kampung Kiol di Jerantut, Pahang.
"Seperti di kampung Kiol, mereka menunjukkan pelan kampung lain untuk berbincang mengenai keluasan tanah dengan penduduk. Ini satu penipuan," katanya lagi
Selain di Pahang, Jakoa juga selesai menjalankan kerja-kerja mengukur tanah di 19 buah kampung di Perak, katanya.
"Ada 19 buah kampung di Daerah Batang Padang, Perak dah siap di ukur," katanya.
Mengikut rancangan pemberimilikan tanah itu, individu keluarga Orang Asli akan menerima hak milik kepada lot tanah yang sama dengan model Felda.
Namun, ini bermakna tanah hak-hak adat mereka yang berkeluasan lebih besar, akan dirampas dan mereka diberikan lot yang lebih kecil.
Pada bulan Mac 2010, kira-kira 2,000 Orang Asli berhimpun dan membuat bantahan di Putrajaya atas isu yang sama.
Pada Ogos tahun lalu, penduduk pribumi berkenaan sekali lagi mengancam untuk mengadakan demonstasi besar, ekoran pengumuman Jakoa bahawa mereka telah memuktamadkan perbincangan dengan kerajaan negeri berhubung isu tanah tersebut.

