Najib bentang bajet 2013

       

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini membentangkan Bajet 2013 di Dewan Rakyat, yang keempat bagi beliau sebagai Menteri Kewangan.

    

Berpakaian baju Melayu berwarna hijau lengkap bersamping, Najib mula membentangkan Bajet, bertema "Memakmur  Negara, Mensejahtera Rakyat: Sebuah Janji Ditepati" pada 4 petang, dan ia disiarkan secara langsung oleh stesen-stesen radio dan televisyen utama.

    

Dengan pilihan raya umum ke-13 bakal diadakan pada bila-bila masa sahaja, rakyat Malaysia teruja untuk  mengetahui apakah berita baik untuk mereka dalam Belanjawan kali ini berikutan kebimbangan mereka terhadap punca pendapatan yang boleh menjejaskan kualiti kehidupan mereka.

    

Rakyat mengharapkan kerajaan akan menangani isu-isu berkenaan dan pada masa yang sama memastikan keadaan ekonomi negara kekal kukuh berikutan ketidaktentuan ekonomi global.

    

Menjelang pembentangan Bajet hari ini, pakar ekonomi, ahli politik serta rakyat biasa dan setiap lapisan masyarakat telah menyuarakan pendapat mereka mengenai apa yang Najib patut masukkan di dalam Belanjawan.

    

Najib telah menulis dalam blog beliau bahawa Bajet ini disediakan selepas mengambil kira pelbagai pandangan daripada rakyat.

"Terima kasih atas input anda , ini benar-benar mewakili sesuatu yang disuarakan oleh rakyat, untuk rakyat – dan saya berharap semua lapisan rakyat Malaysia dapat melihatnya daripada isu-isu yang ditangani," tulis beliau.

    

Bajet ini akan dibahaskan dan diluluskan pada persidangan Dewan Rakyat yang bermula 24 Sept dan akan berakhir pada 27 November.

    

Bajet ini juga adalah yang terakhir sebelum pilihan raya umum ke-13 diadakan berikutan mandat kerajaan akan tamat pada 28 April, 2013. Najib boleh memohon membubarkan Parlimen pada bila-bila masa antara  sekarang dan akhir April.

    

- Bernama

Malaysiakini
terkini untuk anda