Ekonomi M'sia diunjur berkembang sehingga 5.5%
LAPORAN EKONOMI Ekonomi Malaysia dijangka terus kukuh dan diunjurkan berkembang pada kadar yang lebih tinggi antara 4.5 peratus hingga 5.5 peratus pada 2013, demikian menurut Kementerian Kewangan di dalam Laporan Ekonomi 2012/2013.
Pertumbuhan itu akan disokong oleh peningkatan eksport dan permintaan domestik yang terus kukuh dengan jangkaan pertumbuhan ekonomi global yang lebih tinggi, terutamanya dalam tempoh separuh kedua 2013, demikian menurut Kementerian Kewangan di dalam Laporan Ekonomi 2012/2013 yang dikeluarkan
hari ini.
Katanya prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia adalah berdasarkan jangkaan pemulihan krisis hutang berdaulat di kawasan euro dan momentum pertumbuhan ekonomi yang lebih kukuh dalam kalangan rakan dagangan utama Malaysia.
Sementara itu, permintaan domestik dijangka mengekalkan momentum pertumbuhan yang kukuh, yang didorong oleh kecergasan pelaburan swasta dan kemantapan penggunaan swasta.
Aktiviti sektor swasta akan disokong oleh dasar monetari yang akomodatif dalam persekitaran inflasi yang sederhana dan sektor kewangan yang kukuh.
Menurut Kementerian Kewangan perbelanjaan awam pada keseluruhan dijangka meningkat berikutan pelaburan modal Perusahaan Awam Bukan Kerajaan (PABK) yang lebih tinggi dan seterusnya merangsang pertumbuhan ekonomi.
Oleh itu, Pendapatan Negara Kasar (PNK) per kapita nominal dijangka meningkat 6.4 peratus kepada RM32,947 manakala Persamaan Kuasa Membeli (PPP) pendapatan per kapita diunjurkan berkembang 4.4 peratus kepada USD16,368.
Laporan itu menyatakan bahawa meski pun perbelanjaan permintaan dalam negeri dijangka kukuh pada 2013, kadar inflasi akan meningkat sederhana, purata antara 2.0 peratus hingga 3.0 peratus, yang diimbangi oleh peningkatan kapasiti pengeluaran yang lebih tinggi dalam negara.
Dalam sudut penawaran, antara faktor utama yang mempengaruhi inflasi adalah harga tenaga dan komoditi makanan yang dijangka sederhana dalam tempoh separuh pertama 2013 tetapi diunjurkan meningkat lebih tinggi dalam tempoh separuh kedua, katanya.
- Bernama

