BSN akan lantik 5,000 ejen di kawasan luar bandar
LAPORAN EKONOMI Bank Simpanan Nasional (BSN) akan melantik 5,000 ejen untuk menyampaikan perkhidmatan perbankan asas kepada penduduk luar bandar bagi tempoh tiga tahun akan datang, dalam usaha memperluaskan perkhidmatan perbankan kepada rakyat.
Usaha itu ialah sebahagian daripada inisiatif kerajaan di bawah Program Transformasi Luar Bandar yang diperkenalkan dalam Belanjawan 2012, kata Laporan Ekonomi 2012/2013 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan hari ini.
Setakat ini, 2,017 pengendali runcit bukan bank seperti pasar mini, syarikat telekomunikasi, agensi insurans dan Amanah Ikhtiar Malaysia telah dilantik sebagai ejen untuk menyampaikan perkhidmatan perbankan asas.
Pada Ogos lepas, Bank Negara telah mengeluarkan Garis Panduan Perbankan Ejen kepada institusi kewangan bagi memastikan perbankan ejen dilakukan secara selamat dan diyakini.
"Panduan tersebut menggariskan keperluan yang perlu dipatuhi oleh institusi kewangan dalam bidang tadbir urus dan pemantauan, pengurusan ejen serta perlindungan, kesedaran dan pendidikan pelanggan," kata laporan itu.
Sementara itu, bagi menggalakkan lebih ramai profesional membuka firma di bandar kecil, kerajaan menubuhkan Tabung Perkhidmatan Profesional pada April lepas dengan peruntukan RM100 juta yang akan diurus BSN.
Melalui dana itu, BSN akan menyediakan pinjaman mudah kepada golongan profesional pada kadar faedah empat peratus.
Menurut laporan itu Bajet 2012 memperuntukkan RM30 juta untuk penubuhan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) bagi mengintegrasikan perkhidmatan pertanian, perbankan dan insurans, khidmat nasihat perniagaan, latihan dan kemahiran serta menyediakan klinik dan ruang perniagaan.
Sehingga Ogos lepas, dua RTC telah ditubuhkan iaitu di Gopeng, Perak dan Kota Baharu, Kelantan.
- Bernama

