LAPORAN EKONOMI Kesan langsung krisis hutang kawasan euro kepada sektor kewangan domestik dapat dibendung dengan pengantaraan berkesan oleh pasaran kewangan dan bon domestik terhadap peningkatan jumlah dan volatiliti aliran portfolio, demikian menurut Laporan Ekonomi 2012/2013 yang dikeluarkan hari ini.

Kementerian Kewangan berkata impak ke atas bank-bank juga adalah minimum hasil pengurusan pendedahan risiko pasaran yang berhemat oleh institusi kewangan.

Ia juga berikutan kebergantungan yang rendah kepada pinjaman luar untuk pembiayaan oleh bank domestik dan bank asing yang diperbadankan dalam negeri (LIFB), dan pendedahan kredit yang terhad oleh institusi kewangan dengan rakan niaga di Eropah.

    

Walaupun tuntutan asing ke atas Malaysia agak besar, katanya berdasarkan kepada statistik Bank for International Settlements (19.7 peratus daripada KDNK pada akhir 2011), risiko penyahleveraj oleh bank-bank Eropah terhadap ekonomi dan sistem kewangan domestik adalah terhad.

    

Sekiranya berlaku penarikbalikan secara besar-besaran oleh bank-bank Eropah dari Malaysia, pengantaraan kewangan domestik dapat disokong secukupnya oleh bank Malaysia dan bank lain yang bukan dari Eropah kerana permodalan dan kedudukan mudah tunai bank-bank tersebut adalah kukuh.

    

Sementara itu, Kementerian Kewangan berkata sebuah bank perdagangan asing baharu yang diberikan lesen pada 2010 telah mula beroperasi pada Julai 2012 manakala sebuah bank perdagangan asing dari India diberi semula lesen di bawah pengaturan dua hala dan telah mula beroperasi pada Julai 2012.

    

Katanya pembiayaan melalui sistem perbankan kekal kukuh dengan permohonan pinjaman meningkat 10 peratus dan pengeluaran pinjaman sebanyak 20.9 peratus dan pada akhir Julai 2012, nisbah modal wajaran risiko (RWCR) berada pada paras 14.4 peratus, manakala nisbah modal teras (CCR) pada 12.7 peratus.

    

Paras ini adalah jauh melebihi peraturan minimum semasa iaitu 8.0 peratus bagi RWCR dan 4.0 peratus untuk CCR serta piawaian lebih ketat di bawah Basel III.

    

Pada akhir Julai 2012, katanya kadar pinjaman asas bank perdagangan kekal pada 6.53 peratus (akhir 2011:6.53 peratus) tetapi kadar pinjaman purata bank perdagangan jatuh 13 mata asas kepada 4.70 peratus (akhir 2011:4.83 peratus).

Pinjaman oleh sistem perbankan terus menyokong aktiviti ekonomi dalam tempoh tujuh bulan pertama 2012.

    

Permintaan bagi pembiayaan terus kukuh dengan permohonan pinjaman berkembang 10 peratus dan pengeluaran pinjaman, 20.9 peratus, manakala kelulusan pinjaman meningkat pada kadar yang lebih perlahan iaitu 1.4 peratus, mencerminkan sebahagiannya impak awal garis panduan pinjaman baharu, yang berkuat kuasa sejak

Januari 2012 (Januari-Julai 2011:23.5 peratus, 8.2 peratus, 20.5 peratus), katanya.

    

Kementerian Kewangan berkata pembiayaan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) juga terus kekal kukuh dengan mencatatkan kadar pertumbuhan dua angka iaitu 15.8 peratus bagi permohonan pinjaman, 17.7 peratus kelulusan pinjaman dan 24.7 peratus pengeluaran pinjaman (Januari-Julai 2011:31.6 peratus,

22.6 peratus, 18.9 peratus).

    

Katanya sebahagian besar pengeluaran pinjaman telah disalurkan kepada sektor perdagangan borong dan runcit, penginapan dan restoran (35.1 peratus), dan sektor pembuatan (29 peratus).

    

Pada akhir Julai 2012, pinjaman PKS terkumpul meningkat 21.4 peratus kepada RM170.7 bilion dan merangkumi 42 peratus daripada jumlah pinjaman perniagaan terkumpul dalam sistem perbankan (akhir tahun 2011:19.3 peratus, RM153.2 bilion, 40.5 peratus).

    

Pinjaman kepada sektor isi rumah kekal aktif dengan pinjaman isirumah terkumpul berkembang 11.8 peratus kepada RM586.9 bilion dan merangkumi 54.7 peratus daripada jumlah pinjaman terkumpul sistem perbankan pada akhir Julai 2012 (akhir tahun 2011:12.9 peratus, RM552.5 bilion, 55.1 peratus).

    

Dalam tempoh tujuh bulan pertama 2012, permohonan pinjaman isirumah meningkat 2.1 peratus manakala kelulusan pinjaman merosot 3.9 peratus dan pengeluaran pinjaman turun 0.7 peratus (Januari-Julai 2011:18.3 peratus, 16.1 peratus, 12.5 peratus), katanya.

    

Menurutnya, sebahagian besar pinjaman isi rumah adalah dalam bentuk kredit penggunaan, yang meliputi RM69.3 bilion atau 12.6 peratus daripada jumlah pengeluaran pinjaman.

- Bernama