Tempatkan semula asas KDNK cerminkan perubahan ekonomi
LAPORAN EKONOMI Usaha menempatkan semula asas Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan sentiasa dijalankan secara berkala untuk mencerminkan perubahan ekonomi dan harga relatif, demikian menurut Laporan Ekonomi 2012/2013.
Menurutnya, perubahan dan penambahbaikan dari segi amalan dan kaedah antarabangsa akan terus diambil kira untuk memastikan perbandingan rentas dengan negara lain boleh dilaksanakan.
Katanya, Jabatan Perangkaan Malaysia telah menempatkan semula asas Statistik Akaun Negara daripada tahun 2000 kepada 2005 dan Akaun Negara pada harga tetap tersebut akan ditempatkan semula asasnya kepada harga tahun 2005 mulai penerbitan suku pertama 2012.
Menurutnya, rasional untuk menempatkan semula asas akaun negara adalah supaya pengasasan semula KDNK akan membolehkan akaun negara menggambarkan perkembangan ekonomi sejak beberapa tahun kebelakangan, ini termasuk pergerakan harga relatif dan perubahan struktur pengeluaran dan penggunaan.
Penempatan semula asas ini selaras dengan saranan PBB bahawa tahun asas perlu berakhir pada angka sifar atau lima, demikian menurut laporan tersebut.
Penggerakan ketara dalam harga komoditi telah menguatkan lagi keperluan segera mengasaskan semula KDNK kepada tahun 2005, katanya.
Laporan tersebut turut menyatakan bahawa penempatan semula asas merupakan amalan piawaian antarabangsa dan menjadikan usaha menempatkan semula KDNK setanding dengan negara yang telah mengambil tindakan yang sama seperti Amerika Syarikat, Itali, Jepun, Korea Selatan dan Singapura.
Katanya langkah menempatkan semula asas terkini itu juga mengambil kira sumber data yang dikemas kini dan maklumat yang lebih menyeluruh daripada Jadual Bekalan dan Penggunaan 2005, Jadual Input-Output 2005, Banci Ekonomi 2006, Kaji Selidik Industri Tahunan dan Penyiasatan Perbelanjaan Isi Rumah 2004/2005.
Industri dan aktiviti ekonomi baharu termasuk loji rehabilitasi dan terminal minyak dalam subsektor pengangkutan dan penyimpanan serta aktiviti penanaman jatropha dan kenaf serta pemeliharaan burung walit dalam sektor pertanian, menurut laporan itu.
Katanya aktiviti berkaitan dengan broker saham yang dahulunya dimasukkan dalam subsektor perkhidmatan perniagaan kini diklasifikasikan semula di bawah subsektor kewangan untuk memberi gambaran yang lebih baik bagi nilai ditambah pasaran kewangan dan modal kepada ekonomi.
- Bernama

