K'jaan akan catat defisit fiskal 4.0% daripada KDNK
LAPORAN EKONOMI Kerajaan Persekutuan akan mencatatkan defisit fiskal yang lebih rendah 4.0 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) tahun depan disebabkan oleh penguncupan dalam perbelanjaan, demikian menurut Laporan Ekonomi 2012/2013.
Hasil Kerajaan Persekutuan dijangka meningkat kepada RM208.7 bilion disokong oleh hasil cukai yang lebih tinggi sebanyak RM159.2 bilion.
Jumlah perbelanjaan bagaimana pun dijangka menguncup 1.1 peratus kepada RM249.7 bilion berikutan langkah untuk mengawal perbelanjaan tidak kritikal dan menghasilkan defisit fiskal yang lebih rendah, kata Kementerian Kewangan.
Dalam Laporan Ekonomi 2012/2013 yang dikeluarkan hari ini, Kementerian Kewangan berkata kerajaan akan melindungi kesejahteraan rakyat sementara penyampaian perkhidmatan sektor awam akan dioptimumkan supaya lebih responsif di dalam ekonomi yang diterajui sektor swasta.
Perbelanjaan mengurus dijangka menurun sedikit kepada RM201.9 bilion berikutan usaha bersepadu untuk berhemah dalam perbelanjaan.
Katanya perbelanjaan pembangunan akan diperuntukkan sejumlah wang RM47.8 bilion atau 19.1 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan pada 2013.
Sektor perkhidmatan ekonomi disediakan peruntukan terbesar berjumlah RM30 bilion atau 62.9 peratus daripada keseluruhan peruntukan pembangunan pada 2013, katanya.
Sektor perkhidmatan sosial diperuntukkan RM11.1 bilion dengan subsektor pendidikan dan latihan menerima peruntukan tertinggi berjumlah RM6.5 bilion bagi memenuhi permintaan yang meningkat terhadap tenaga kerja yang berkebolehan, berkemahiran tinggi, kreatif dan inovatif.
Katanya sektor keselamatan akan diperuntukkan RM4.6 bilion, yang mana RM3.9 bilion adalah untuk subsektor pertahanan dan RM644 juta bagi keselamatan dalam negeri.
Pentadbiran am pula, menurutnya, akan diperuntukkan RM2 bilion bagi pelaksanaan pelbagai penambahbaikan dalam penyampaian perkhidmatan awam, penggalakan penggunaan IT dalam perkhidmatan awam serta pembaikan dan penyelenggaraan kemudahan kerajaan seluruh negara.
Begitu juga, hasil bukan cukai dijangka merosot 9.6 peratus kepada RM49.5 bilion disebabkan terutamanya oleh pulangan yang lebih rendah daripada pelaburan serta hasil kutipan yang menurun daripada royalti petroleum dan Pihak Berkuasa Bersama Malaysia-Thailand, katanya.
- Bernama

