LAPORAN EKONOMI Jumlah perdagangan Malaysia dijangka meningkat 4.4 peratus kepada RM1.32 trilion tahun ini, sekaligus meninggalkan RM1.27 trilion yang direkodkan pada 2011, demikian menurut Laporan Ekonomi 2012/2013.

Menurutnya, pencapaian perdagangan Malaysia yang dijangka pada tahun ini adalah luar biasa jika dibandingkan dengan kebanyakan negara-negara maju, terutamanya di dalam persekitaran luar yang kian mencabar.

    

Katanya eksport kasar dijangka berkembang pada kadar sederhana sebanyak 2.7 peratus kepada RM713 bilion manakala import kasar dianggar berkembang lebih tinggi berbanding pertumbuhan eksport iaitu pada kadar 6.5 peratus kepada RM611 bilion tahun ini.

    

Pada tahun lepas, eksport kasar Malaysia telah berkembang 8.7 peratus kepada RM694.5 bilion dan import kasar naik 8.6 peratus kepada RM574.2 bilion.

Kementerian Kewangan berkata anggaran eksport kasar pada tahun ini adalah selepas mengambil kira kelembapan berterusan permintaan global bagi produk pembuatan, khususnya produk Elektrik dan Elektronik (E&E) dan jangkaan penurunan harga komoditi dalam tempoh separuh kedua 2012.

    

Dalam pada itu, katanya import kasar dijangka berkembang dengan pesat dan disokong oleh aktiviti domestik yang kukuh.

"Bagaimana pun, kedudukan perdagangan luar dijangka kekal menggalakkan dengan lebihan dagangan mencatatkan RM101.5 bilion, yang bersamaan dengan 10.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)," kata laporan itu.

Disebabkan oleh pempelbagaian pasaran yang lebih luas, Kementerian Kewangan berkata jumlah perdagangan Malaysia berkembang 5.5 peratus kepada RM764 bilion dalam tempoh tujuh bulan pertama 2012, naik daripada RM724.1 bilion yang dicatat semasa tempoh yang sama tahun lepas.

    

Dengan pertumbuhan import mengatasi eksport, katanya jumlah lebihan perdagangan mengecil kepada RM54.7 bilion daripada RM68.6 bilion yang direkodkan pada tempoh yang sama tahun lepas.

    

"Berikutan pertumbuhan yang perlahan dalam ekonomi maju dan krisis di kawasan euro yang semakin meruncing, peratusan sumbangan rakan dagangan utama Malaysia seperti Jepun, EU dan Amerika Syarikat secara keseluruhannya telah berkurangan kepada 29.4 peratus untuk tujuh bulan yang pertama tahun ini, jika

dibandingkan dengan 30.7 peratus yang direkodkan ketika tempoh Januari-Julai tahun lepas.

    

"Peratusan sumbangan perdagangan dengan negara membangun yang berkembang pesat, terutamanya di Timur Laut Asia (tidak termasuk Jepun), India dan Asia Tenggara kekal tinggi pada 54.6 peratus daripada 53.8 peratus untuk tempoh tujuh bulan yang pertama," kata Kementerian Kewangan, sambil menyatakan bahawa China terus menjadi rakan dagangan terbesar Malaysia dengan menyumbang 13.6 peratus kepada jumlah perdagangan negara.

    

Di samping itu, kedudukan Imbangan Pembayaran (BOP) Malaysia secara keseluruhannya terus mencatat lebihan yang rendah RM5.5 bilion dalam tempoh separuh pertama 2012 dengan lebihan akaun semasa mengatasi aliran keluar bersih dalam akaun kewangan.

    

Katanya lebihan akaun semasa mengecil kepada RM27.7 bilion atau 6.3 peratus daripada Pendapatan Negara Kasar (PNK) dengan lebihan akaun barangan lebih dari untuk mengatasi defisit dalam akaun perkhidmatan, pendapatan dan pindahan semasa.

    

Lebihan akaun semasa untuk separuh tahun 2011 ialah RM47.3 bilion atau bersamaan dengan 11.4 peratus daripada PNK.

- Bernama