LAPORAN EKONOMI Dalam masa hanya enam tahun selepas penubuhannya, Iskandar Malaysia, telah berjaya menarik jumlah pelaburan lebih daripada satu perempat sasaran pelaburannya, iaitu RM383 bilion menjelang 2025.

    

Sehingga Jun tahun ini, zon ekonomi khas di bahagian paling selatan Johor, Iskandar Malaysia telah menarik RM95.5 bilion pelaburan komited sejak penubuhannya pada 9 November, 2006.

    

Daripada jumlah itu, 43 peratus atau RM41.4 bilion telah direalisasikan, kata Laporan Ekonomi 2012/2013 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan.

    

Merujuk kepada penyertaan yang kuat daripada pelabur tempatan dan asing, Kementerian Kewangan berkata 62 peratus atau RM59 bilion pelaburan komited di koridor datang dari pelabur tempatan manakala selebihnya adalah pelaburan langsung asing.

    

Iskandar Malaysia yang merupakan salah satu daripada lima koridor pembangunan di negara ini, juga menerima sokongan kuat dari kerajaan di mana kerajaan telah memperuntukkan RM7.3 bilion untuk projek infrastruktur utama, kata laporan itu.

    

Antara projek infrastruktur yang telah siap adalah Lebuh Raya Pantai dari Johor Baharu ke Nusajaya, persimpangan bertingkat dan jambatan baharu serta kerja menaik taraf jalan untuk menambah baik aliran dan penguraian trafik dalam dan sekitar Johor Baharu.

    

"Kerajaan juga menyediakan pelbagai insentif kewangan dan bukan kewangan untuk menarik pelaburan berkualiti dan pekerja berkemahiran tinggi dalam sektor tertentu di koridor ini, termasuk pengecualian cukai kepada syarikat berkelayakan.

    

"Pelaburan kerajaan dalam infrastruktur dijangka membantu meningkatkan lebih banyak pelaburan swasta yang seterusnya akan merangsang lagi pertumbuhan ekonomi," kata laporan itu.

    

Pelaburan yang semakin meningkat di rantau ini, ditandai dengan siapnya projek-projek utama seperti Johor Premium Outlets, Taman Tema LEGOLAND Malaysia dan EduCity, telah menyediakan 54,000 peluang pekerjaan sehingga akhir Jun ini.

    

Kementerian Kewangan berkata peluang pekerjaan dijangka berlipat ganda selaras dengan beberapa projek sebagai pemangkin utama yang dijangka beroperasi lima tahun akan datang seperti Pinewood Iskandar Malaysia Studios, MSC Cyberport City serta Urban and Resort Wellness.

- Bernama