Berikut reaksi positif pemimpin NGO, persatuan pesara kerajaan, peladang dan nelayan selepas pembentangan Bajet 2013 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang juga menteri kewangan di Dewan Rakyat petang ini.

Datuk Omar Osman, presiden Cuepacs

NONE Kerajaan pastinya telah mengkaji semua perkara sebelum membuat keputusan memberi bonus itu. Ia menunjukkan kerajaan perihatin dengan kehendak penjawat awam dan sentiasa berusaha memenuhi permintaan mereka setiap tahun.

Cuepacs juga melihatnya sebagai bukti bahawa negara mempunyai pertumbuhan ekonomi yang baik.

Tan Sri Wan Mahmood Pawan Teh, presiden Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia

Kesemua pesara amat menghargai pemberian kerajaan dan akan berusaha menggunakan wang itu secara berhemah... Janganlah berbelanja sewenang-wenangnya.

Lawatan sambil belajar ke luar negara boleh memperkayakan pengalaman untuk faedah hidup rakyat dan negara.

Datuk Harun Hashim, presiden Persatuan Pesara-Pesara Kerajaan Malaysia Kedah

Dengan kenaikan kadar pencen ini, ia dapat membantu meringankan beban pesara, terutama yang tidak ada punca pendapatan lain selain pencen.

Kami berharap kerajaan akan terus prihatin dan mengambil kira jasa yang telah disumbangkan oleh golongan pesara ketika kami berkhidmat dengan kerajaan dahulu.

Abdul Rahman, pengurus besar Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas)

Dengan adanya skim perlindungan ia menambah keyakinan pesawah-pesawah untuk bersama kerajaan bagi mencapai tahap sara diri pengeluar padi negara dengan lebih cepat.

Secara dasarnya peruntukan untuk program tanam semula dan perlindungan padi mengambarkan keyakinan kerajaan menerusi bidang pertanian dalam turut sama menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi pada 2020.

Omar Abdul Rahman, pengerusi Persatuan Nelayan Kuala Selangor

Kami gembira apabila kerajaan menyediakan insentif pada kadar 10 sen hingga 20 sen sekilogram bagi tangkapan ikan dan memperkenal skim perlindungan insurans nelayan.