Delima Oil Products Sdn Bhd (DOP), subsidiari Felda Holdings Bhd, bakal mendirikan kilang pengeluaran dan pembungkusan di Burma, membolehkannya mengeksport produk hiliran ke negara jiran seperti Laos, Kemboja dan Filipina.

Ketua Pegawai Eksekutif DOP Zakaria Arshad berkata sebanyak RM30 juta akan dilaburkan bagi kilang tersebut dengan kemudahan pembungkusan dijangka memulakan operasi dalam masa tiga bulan.

Mengenai kilang pengeluaran pula, beliau berkata syarikat masih berunding dengan bakal rakan kongsi dalam negara itu untuk mengadakan usaha sama bagi tujuan tersebut.

"Kami menimbangkan beberapa rakan kongsi, terutama syarikat-syarikat berkaitan kerajaan, yang sesuai dengan sasaran jangka panjang," katanya.

Dengan langkah memasuki Burma, beliau berkata eksport ke negara-negara Asean tidak termasuk Malaysia, dijangka meningkat kepada 50 peratus daripada 25 peratus sekarang ini.

Pada masa ini, 75 peratus produk DOP dipasarkan dalam Malaysia.

Zakaria berkata DOP juga mengukuhkan kedudukannya di Burma, dengan merancang untuk menembusi sekurang-kurangnya 50 peratus daripada pasaran runcit negara dalam masa beberapa tahun akan datang.

Syarikat menguasai 50 peratus pasaran Yangon kurang dari setahun perkongsian dengan pengedar tempatan, Grand Wynn Enterprises.

Pada November tahun lepas, DOP menandatangani perjanjian dengan Grand Wynn Enterprises untuk mengedar produknya yang antara lain minyak masaknya yang terkenal jenama SAJI, marjerin ADELA Industrial, lelemak MARIANA dan produk sapuan roti yang baru diperkenalkan SunBear di Yangon.

Produk tersebut juga akan diedarkan tidak lama lagi di Mandalay dan kawasan lain di Burma, kata Zakaria kepada Bernama di luar acara Karnival Saji Food yang diadakan di Yangon.

Hadir sama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) Datuk Sabri Ahmad dan Pengerusi Grand Wynn, Nicko Hla Win.

Sabri berkata kumpulan menyasar untuk menguasai 100 peratus pasaran runcit Yangon menjelang akhir tahun, memanfaatkan permintaan kukuh bagi produk berkualiti dari rakyat Burma.

DOP juga dijangka menandatangani perjanjian pengedaran baharu dengan Grand Wynn esok, bagi lanjutan perkongsian mereka.

- Bernama