Nik Aziz dijangka ketuai konvoi 'R' ke Putrajaya
Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dijangka akan mengetuai konvoi ke Istana Kehakiman, Putrajaya pada Rabu depan untuk menuntut hak negeri itu ke atas bayaran royalti minyak.
Laporan Harakahdaily menyebut, Nik Aziz telah menyatakan persetujuan untuk mengetuai konvoi anjuran Gabungan Profesional Menuntut Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas ke Kelantan (R).
"Kita telah terima makluman tenghari tadi bahawa YAB Tuan Guru Dato Bentara Setia Hj Nik Abdul Aziz Nik Mat akan menghadiri dan mengetuai program Himpunan ROYALTI di Istana Kehakiman Putrajaya pada 3 Oktober 2012 (Rabu) nanti, kata presiden R, Nazri Deraman dalam laporan itu.
Tambahnya, Nik Aziz juga bersetuju menghadiri ceramah berhubung tuntutan berkenaan di Shah Alam yang dijadualkan berlangsung pada malam sebelumnya.
Konvoi mega itu, menurut Nazri bagi memberi isyarakat bahawa negeri Kelantan "sudah bangkit" untuk menuntut agar hak ke atas hasil bumi itu dikembalikan.
"Ia sebagai saluran baru bagi memberi tahu seluruh rakyat Malaysia selepas semua saluran media pro-kerajaan mahu menutup isu tuntutan royalti, pendaratan minyak dan gas ke negeri," katanya,
Dalam program itu juga kumpulan peserta konvoi itu juga akan menyerahkan 150 ribu tandatangan referendum tuntutan tersebut ke pejabat pejabat Perdana Menteri, katanya.

