dikemaskini 3.58pm Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein menegaskan faktor "keselamatan negara" apabila ditanya mengenai kesan kepada kebebasan media, ekoran keputusan mahkamah berhubung permit penerbitan kepada pengendali portal Malaysiakini semalam.

"Sekarang ini lanskap hendak mengimbangi antara hak dan kebebasan (bersuara) dan keselamatan dan kepentingan negara yang terpaksa dihadapi oleh semua negara di dunia ini," katanya ketika bercakap kepada pemberita di Kuala Lumpur.

Beliau seterusnya menimbulkan mengenai reaksi peserta demonstrasi ke atas filem anti-Islam di luar negara yang bertukar ganas sehingga menyebabkan kematian.

"Demonstrasi yang dilihat sebagai suci (innocent) di Libya akhirnya wujud pembunuhan konsulat Amerika Syarikat.

"Jangan perkara-perkara yang nampak macam mudah bebas dari unsur-unsur yang mengancam keselamatan negara," katanya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kesan keputusan mahkamah semalam kepada kebebasan media.

Sebelum itu, beliau ditanya berhubung tindakan kementerian berkenaan - sama ada akan merayu keputusan yang memihak Malaysiakini itu.

Mengulas perkara itu, Hishammuddin berkata beliau menyerahkan kepada peguam negara sekiranya akan berbuat demikian.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa khas) semalam membatalkan keputusan kementerian itu untuk tidak memberikan permit penerbitan kepada Mkini Dotcom Sdn Bhd yang mengendalikan portal berita Malaysiakini.

Hakim Abang Iskandar Abang Hashim memutuskan "ia tidak wajar dan tidak rasional" dan keputusan Menteri Dalam Negeri tersebut sebagai salah arahan kerana ia melebihi had bidangkuasanya.