Akibat ingin mengelak seekor babi yang melintas jalan, seorang warga emas maut dalam kemalangan selepas tercampak dalam longkang di Kilometer 149, Jalan Kuantan-Kuala Lumpur di Lanchang semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Temerloh Superintenden Zundin Mahmood berkata mangsa, Omar Samah, 65, dari Jalan Mempatih Taman Indah, Lanchang, disahkan  meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.

    

"Motosikal yang dinaiki mangsa bertembung dengan sebuah kereta dari laluan bertentangan ketika cuba mengelak seekor babi yang sedang melintas jalan.

"Mangsa tercampak atas cermin depan kenderaan itu dan kemudian terpelanting masuk ke dalam longkang di tepi jalan," katannya ketika dihubungi.

Beliau berkata pada masa sama, pemandu kereta dikejar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah selepas mengadu sakit dada.

"Jenazah mangsa sudah dituntut ahli keluarganya, dan polis masih meneruskan siasatan berhubung kejadian terbabit mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Bernama