DAP mempertikaikan peruntukan RM386 juta untuk tambahan 57 Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) di Sabah dan Sarawak kerana nilainya terlalu tinggi selain boleh menyebabkan peruncit tempatan gulung tikar.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, peruntukan yang secara puratanya RM6.7 juta itu 15 kali ganda lebih tinggi daripada di semenanjung yang hanya RM470,000 kos sebuah kedai.

Pakatan dinner Lim Guan Eng "Bolehkah BN menjustifikasikan perbelanjaan RM6.7 juta hanya untuk menubuhkan sebuah kedai KR1M yang menjual barangan keperluan asas seperti gula, beras dan garam?

"Atau kedai-kedai KR1M juga menjual barang-barang mewah seperti beg tangan berjenama, emas dan permata berlian?" soalnya sinis.

Lim berkata ( atas ), Najib sebelum ini mengumumkan pembinaan 85 kedai KR1M di Semenanjung Malaysia dengan peruntukkan berjumlah RM40 juta.

Dalam kenyataannya hari ini, Lim mendakwa, peruntukan itu mungkin akan memberi manfaat kepada syarikat Mydin yang memperoleh kontrak untuk mengendalikan kedai itu dan boleh memberikan kesan negatif kepada peruncit tempatan.

Dalam belanjawan 2013 yang dibentangkan Jumaat lalu, menteri kewangan berkata, kerajaan akan memperuntukkan RM386 juta bagi memastikan harga barangan keperluan di Sabah, Sarawak dan Labuan dijual pada harga yang lebih rendah dan seragam.

Ia akan dilakukan dengan membuka sebanyak 57 buah KR1M dan menanggung kos penghantaran produk dari semenanjung ke negeri itu, termasuk penghantaran ke kawasan pedalaman.

Katanya, secara umumnya harga barangan keperluan di tempat itu lebih mahal berbanding semenanjung disebabkan kos penghantaran dan pengagihan yang lebih tinggi.