Malaysia mencadangkan penubuhan Majlis Benih di rantau Asia Pasifik bagi memastikan kemapanan rantaian bekalan input pertanian.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar mengemukakan cadangan tersebut pada mesyuarat peringkat tinggi Rundingan Serantau Mengenai Dasar Bagi Respons Kepada Harga Makanan Tinggi di Asia dan Rantau Pasifik, di Bangkok, Thailand.

Menurut kenyataan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani malam ini, Noh menggesa pembaharuan daripada berorientasikan pengeluaran kepada pendekatan bercorak rantaian nilai bekalan pada mesyuarat dua hari yang berakhir Selasa lepas.

NONE "Berikutan perubahan iklim yang mempengaruhi pengeluaran tanaman, maka terdapat keperluan untuk memperkenalkan benih hibrid yang boleh kekal dalam sebarang keadaan alam sekitar dan cuaca buruk," kata Noh seperti dipetik dalam kenyataan itu.

Noh juga menggesa semua negara anggota mempunyai respons kolektif dan langkah berkesan bagi mengatasi semua ancaman, kekurangan makanan, harga turun naik, perubahan iklim dan bencana alam yang buruk.

"Negara-negara perlu terus meningkatkan pelaburan dalam bidang pertanian dan pembangunan infrastruktur luar bandar dan pada masa masa melindungi sumber-sumber asli," katanya.

Sebanyak 22 negara dari rantau Asia Pasifik menyertai rundingan tersebut anjuran Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) dan disokong oleh Bank Pembangunan Asia, Dana Antarabangsa Pembangunan Pertanian dan Program Makanan Sedunia (WFP) bagi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

- Bernama