PPP harap BN beri peluang ia bertanding di Johor
Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk Seri M.Kayveas berharap pucuk pimpinan BN memberi peluang kepada parti itu untuk bertanding sekurang-kurangnya satu kerusi di Johor pada Pilihan Raya Umum ke-13.
Beliau berkata walaupun tidak pernah bertanding mana-mana kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Johor, namun pihaknya yakin mampu mencapai kemenangan jika diberi peluang.
"PPP telah memohon untuk bertanding di empat kerusi Parlimen dan 12 kerusi DUN pada pilihan raya umum akan datang, tetapi jika diberi peluang bertanding sekurang-kurangnya satu kerusi di Johor, itu sudah memadai," katanya kepada pemberita selepas menghadiri konvensyen PPP Johor di Skudai semalam.
Kayveas berkata pihaknya tidak mahu mendesak dan menyerahkan perkara itu kepada pucuk pimpinan BN untuk membuat keputusan.
Mengulas persiapan pilihan raya, beliau berkata PPP kini memberi tumpuan kepada 'Misi 510' iaitu usaha mendapatkan 510 anggota baru parti di setiap cawangan di seluruh negara.
"PPP mahu BN memenangi pilihan raya dengan cemerlang. Kita akan memastikan mereka (anggota baru) memberi undi kepada BN," katanya.
Sementara itu, Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman ketika merasmikan konvensyen tersebut berkata kerja keras dan kesepakatan antara parti komponen merupakan asas kekuatan BN di negeri ini.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak agar sentiasa berganding bahu dalam memastikan Johor kekal sebagai kubu kuat BN.
"Bila kita bekerjasama dengan baik dan menjalankan tanggungjawab dengan cemerlang, tiada apa yang dapat menghalang kita untuk mencapai kemenangan dalam pilihan raya akan datang," katanya.
- Bernama

