Seorang pegawai penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Mohd Zulhainan Mohd Isa berkata beliau tidak menerima sebarang laporan berhubung dakwaan tindakan ganas anggotanya ke atas peserta perhimpunan BERSIH 3.0.

Beliau yang bertanggungjawab menyelia seramai kira-kira 200 anggota penguatkuasa berkata, tiada sebarang tangkapan yang dilakukan oleh DBKL ketika perhimpunan itu.

Menurut Mohd Zulhainan, semasa perhimpunan bagi menuntut pilihan raya bersih dan adil itu berlangsung, beliau bersama anggotanya hanya menjaga pintu kaca di menara 1 DBKL bagi menghalang orang ramai dari memasuki bangunan itu.

NONE "Tak ada langsung (laporan pegawai DBKL mengasari peserta). Manusia kalau buat salah takkan lapor. Kemungkinan kalau orang lapor pada kami, akan ada tindakan yang dibuat.

"Tugas kami hanya menjaga sekitar Dataran Merdeka, menara 1 dan 2 DBKL dan harta benda milik datuk bandar," katanya kepada panel yang menyiasat pelanggaran hak asasi semasa dan selepas perhimpunan 28 April.

Tambahnya, semasa rempuhan itu berlaku beliau menerima arahan untuk masuk ke kawasan Dataran Merdeka dan seterusnya bergerak ke menara 1 DBKL untuk menghalang peserta daripada memasuki kawasan tersebut.

"Lepas peserta di menara tak ada, kita keluar dan jaga kawasan (menara) DBKL," katanya pada hari ke-20 siasatan awam berkenaan.

Mohd Zulhainan berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan oleh anggota panel Suhakam mengenai dakwaan seorang peserta BERSIH yang mengatakan beliau dipukul oleh anggota penguatkuasa DBKL semasa perhimpunan itu.

Mohd Zulhainan menegaskan bahawa beliau tidak menerima laporan mengenai perkara tersebut.

Katanya lagi, DBKL juga tidak mempunyai kuasa untuk menangkap atau mengambil apa-apa tindakan terhadap peserta perhimpunan melainkan sekiranya mendapat arahan daripada pengarah penguatkuasaannya.

"Tak ada tangkapan dibuat di bawah arahan saya. Pada waktu pagi, kami berdiri di belakang polis.

"Jika berlaku apa-apa atau orang masuk (Dataran Merdeka), kena tunggu arahan daripada dia (pengarah penguatkuasaan) dan jangan buat apa-apa," katanya lagi.