Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, yang lantang menyuarakan isu pendatang tanpa izin, menyifatkan pengumuman rangka perjanjian damai antara kerajaan Filipina dengan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) sebagai perkembangan terbaik untuk rakyat Sabah.

    

Beliau berkata dengan adanya suasana aman damai, terutama di selatan Filipina, rakyat negara itu tidak lagi perlu berhijrah ke Sabah untuk mencari pekerjaan atau mencari nafkah.

    

"Apa yang berlaku di Filipina ini adalah hasil keprihatinan kerajaan Malaysia dan Filipina. Ini adalah satu perkembangan positif yang dialu-alukan rakyat Sabah, terutama usaha untuk mewujudkan keadaan aman di selatan Filipina.

    

"Dalam hal ini, PBS menghargai inisiatif ini, yang pastinya akan membawa kebaikan untuk semua pihak. Di sinilah letaknya bukti keprihatinan yang disumbangkan oleh kerajaan Barisan Nasional," katanya kepada pemberita di Keningau semalam.

    

Pairin, yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata demikian ketika  mengulas perkara itu.

    

Pengumuman berhubung rangka perjanjian itu dibuat berikutan rundingan peringkat awal antara panel perunding kedua-dua pihak yang diadakan di ibunegara Malaysia mulai 2 hingga 7 Oktober.

    

Pairin yakin rangka perdamaian itu akhirnya akan mengurangkan kebanjiran penduduk selatan Filipina ke kawasan lain, termasuk Sabah.

    

Beliau berkata kerajaan Persekutuan bukan sahaja bersetuju menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat masalah pendatang tanpa izin di negeri ini, tetapi juga berjaya menggunakan saluran diplomasi untuk mewujudkan keamanan di selatan Filipina.

    

- Bernama