PKR menuntut kerajaan menyemak semula dan menghapuskan sistem permit import (AP)  yang memberi pengecualian cukai untuk eksport minyak sawit mentah (CPO) kerana ia didakwa memberi ruang untuk disalahguna.

NONE Ketua biro pelaburan dan perdagangan PKR Wong Chen berkata, langkah kerajaan untuk meningkatkan AP bagi eksport CPO – bagi mengekang kejatuhan harga komoditi itu terbukti tidak berkesan.

Ini disebabkan kebanyakan kuota diberikan kepada syarikat yang memang tidak berupaya untuk menjual CPO. Penambahan 2 juta tan metrik CPO kepada pasaran yang sudah lembap gagal menarik minat pembeli baru," kata Wong dalam satu kenyataan.

Pengeluaran minyak sawit mentah meningkat dengan sekata pada tahun ini namun jumlah eksport menurun, menyebabkan menjejaskan rantaian bekalan tempatan dan harga komoditi itu juga menurun.

Sistem AP untuk eskport CPO diperkenalkan pada tahun 2000 untuk membenarkan syarikat Malaysia yang mempunyai kilang penapisan di luar negara untuk mengeksport minyak sawit mentah ke loji berkenaan tanpa perlu membayar duti eksport sebanyak 23 peratus.

Wong menegaskan bahawa sistem itu tidak telus kerana penerima AP tersebut dirahsiakan.

Nama syarikat yang didakwa menerima AP berkenaan bagaimanapun didedahkan timbalan setiausaha agung PKR Darrell Leiking.

Leiking dalam satu kenyataan berkata, dakwaan itu adalah berdasarkan perisytiharan awam yang dibuat enam syarikat dalam Direktori Pengeksport Produk Sawit Malaysia 2010 – bahawa mereka mengeksport CPO.

Leiking turut menamakan sebuah syarikat yang didakwa tidak mempunyai kilang penapisan sawit mentah di luar negara, namun mendapat AP untuk mengeksport CPO.

"Adakah syarikat tersebut memenuhi syarikat yang ditetapkan, seperti mempunyai kilang penapisan minnyak antarabangsa, sebelum menerima PA CPO istimewa ini?"

Beliau juga mendakwa, syarikat yang dimaksudkannya itu sebahagiannya dimiliki oleh firma Indonesia.

"Bagaimana kita hendak wajarkan bahawa AP untuk CPO bebas cukai ini diberikan kepada syarikat yang sebahagiannya dimiliki firma asing, dengan ditanggung oleh pembayar cukai Malaysia?"

Leiking menganggarkan, syarikat yang dimaksudkannya itu dikecualikan daripada membayar sebanyak RM20 juta cukai eksport.