Timbalan Presiden PKR Azmin Ali berkata gesaan supaya Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor Faekah Husin dipecat tidak mewakili pendirian rasmi PKR negeri itu.

Bahkan beliau yang juga pengerusi PKR negeri berkata majlis pimpinan PKR negeri "tidak membincangkan" pun perkara tersebut, lapor portal berita Mstar .

"Gesaan itu bukan atas nama Majlis Pimpinan Negeri (MPN), dia tak mewakili MPN. MPN tak membincangkan pun mengenai perkara ini.

"Tapi kita hormati pandangan itu. Itu pandangan beliau sebagai anggota dan selaku pengarah pilihan raya. Malah saya percaya ia juga pandangan ahli akar umbi hasil lawatannya ke cabang-cabang," katanya dipetik.

Semalam Pengarah Pilihan Raya PKR Selangor Borhan Aman Shah mendesak Faekah meletakkan jawatan kerana mengeluarkan kenyataan yang didakwa mengeruhkan hubungan dalam Pakatan dan "menimbulkan salah faham" apabila mengulas mengenai kenyataan Azmin berhubung kedudukan Khalid.

Borhan dilapor berkata, desakan itu mewakili pandangan daripada majlis pimpinan PKR negeri.

Bagaimanapun Azmin dilapor Mstar sebagai enggan dikaitkan dengan konflik pentadbiran kerajaan negeri pimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, sebaliknya menyerahkan perkara tersebut kepada pentadbiran parti di peringkat pusat.

"Anda kena rujuk Setiausaha Agung kerana ia melibatkan isu pentadbiran parti," katanya dalam laporan tersebut, sambil menambah terserah kepada parti untuk meneliti rungutan akar umbi itu.

Ditanya sama Borhan merujuk kepadanya terlebih dahulu sebelum membuat kenyataan media, Azmin dipetik Mstar sebagai berkata: "Tak ada...tak ada perbincangan dibuat."