Ambiga pula disekat sementara di lapangan terbang
Pengerusi Bersama BERSIH, Datuk S Ambiga menjadi anggota jawatankuasa pemandu gabungan itu yang terbaru yang disekat sementara oleh pegawai imigresen ketika hendak melepas ke luar negara.
"Saya disekat di tempat imigresen malam ini selama kira-kira 10 minit. Saya tidak boleh melalui pintu automatik. (Ini adalah) jelas gangguan terhadap anggota jawatankuasa pemandu BERSIH.
"Pegawai Imigresen tidak dapat memberi saya penjelasan mengapa saya disekat," kata Ambiga dalam mesej teks kepada Malaysiakini malam tadi.
Beliau disekat sementara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur malam tadi ketika hendak berlepas ke Australia.
Ambiga - anggota jawatankuasa pemandu BERSIH kelima yang disekat sementara oleh pegawai imigresen ketika hendak ke luar negara - berkata BERSIH akan menimbang membawa perkara itu kepada Kementerian Dalam Negeri.
"Ya, kita pasti akan membincangkan perkara ini. Mereka harus mendedahkan nama orang yang mereka senaraikan," katanya.
Khamis lalu, anggota jawatankuasa pemandu BERSIH, Andrew Khoo disekat sementara oleh pegawai imigresen ketika dalam perjalanan ke Bangkok.
Perkara yang sama juga berlaku kepada anggota jawatankuasa
pemandu BERSIH, Maria Chin Abdullah, Yeo Yang Poh (kiri) dan Wong Chin Huat bulan lalu.
Dalam mesej teks kepada Malaysiakini semalam, Khoo berkata beliau sekali lagi disekat sementara ketika pulang dari Bangkok dan sekali lagi ketika hendak berlepas ke Australia malam tadi.
.
Walaupun kebebasan pergerakan mereka tidak digantung, tetapi pemimpin BERSIH mengecam gangguan pihak berkuasa imigresen itu, tanpa alasan yang jelas.

