Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MCA jemput Badan Peguam kaji hukum hudud
Diterbitkan:  Oct 11, 2012 1:10 PM
Dikemaskini: 5:18 AM

MCA menjemput Badan Peguam untuk mengkaji hukum hudud yang diluluskan kerajaan PAS di Kelantan dan Terengganu sebelum ini bagi memastikan hak orang bukan Islam terjamin dalam pelaksanaannya.

Ketua biro guaman MCA Tay Puay Chuan berkata pakar perundangan perlu melihat perkara itu kerana pelaksanaan undang-undang itu ditafsirnya akan turut melibatkan orang bukan Islam.

"MCA berharap Badan Peguam juga akan mengkaji Enakmen Undang-undang Syariah Islamiah Kerajaan Negeri Kelantan yang diluluskan pada 1993 dan bagaimana peruntukan dalam enakmen tersebut, serta hukuman hudud dan qisas, sekiranya dilaksana di Kelantan atau persekutuan, akan ditafsirkan dalam kes jenayah melibatkan individu orang Islam dan bukan Islam.

"MCA percaya bahawa ia merupakan kepentingan awam untuk pakar perundangan melihat tujuannnya yang mana hak orang bukan Islam akan dilindungi sekiranya mereka terlibat dalam dakwaan jenayah melibatkan orang Islam.

"Menurut enakmen Kelantan, ianya wajib kepada semua orang Islam untuk dibicarakan mengikut (undang-undang) syariah dan tertakluk kepada hukuman hudud dan qisas jika didapati bersalah," katanya.

Katanya lagi, kertas kajian yang "adil dan tidak memihak" perlu dikeluarkan berhubung isu berkenaan bagi memberi penjelasan kepada pembuat dasar dan rakyat umum berhubung perkara tersebut.

Skop kajian berkenaan dinyatakannya seperti berikut:

  • Kemungkinan dan keadaan yang membolehkan pindaan perlembagaan untuk menyertakan undang-undang hudud PAS
  • Tanggungjawab pembuat undang-undang beragama Islam untuk menyokong pindaan untuk menyertakan undang-undang tersebut
  • Perlindungan ke atas hak orang bukan Islam dan kebebasan untuk memilih sama ada dibicara mengikut kanun jenayah untuk jenayah yang didakwa melakukan jenayah melibatkan orang Islam dan bukan Islam.
  • Penerimaan kenyataan saksi bukan Islam dalan kes jenayah melibatkan orang Islam dalam hudud
  • Analisis ke atas peruntukan enakmen hudud PAS di Kelantan dan Terengganu dan kesan ke atas perbicaraan jenayah di Malaysia.

Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek merupakan antara individu yang konsisten menentang hukum hudud dalam parti itu.

Hinggakan, Chua menggelarkan seorang ADUN Umno Johor sebagai "hilang akal" kerana mencadangkan supaya hukum hudud dilaksana ke atas orang Islam dan bukan Islam di negeri itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS