Polis menemui mayat seorang wanita dalam keadaan berulat dan telah reput di sebuah rumah papan di Estet Hong Seng, Mount Erskine, di George Town semalam.

Mayat Ch'ng Sooi Inn, 52, ditemui dalam keadaan bogel dan terlentang di ruang tamu kediamannya kira-kira pukul 8.30 malam.

    

Sumber polis berkata pihaknya menerima aduan daripada penduduk setempat yang menghidu bau busuk di sekitar kawasan tersebut sejak beberapa hari lepas.

    

"Polis terpaksa memecah masuk pintu kediaman wanita terbabit dan polis  menemui kad rawatan psikiatri, preskripsi ubat sakit jantung dan kencing manis di rumahnya," katanya kepada pemberita.

    

Beliau berkata wanita itu tinggal seorang diri dan jarang dikunjungi ahli keluarganya.

    

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Gan Kong Meng ketika dihubungi

berkata siasatan awal mendapati mangsa mungkin mati sejak beberapa hari lepas berdasarkan keadaan mayatnya yang sudah berbau dan mereput.

    

"Setakat ini, kes itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan tiada unsur jenayah disyaki," katanya.

    

Katanya mayat Ch'ng telah dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Pulau Pinang untuk dibedah siasat hari ini.

Sementara itu, polis menahan tiga suspek termasuk sepasangan warga emas berusia 73 dan 70 tahun dan seorang lelaki berumur 35 tahun di Kampung Tembila dekat Kampong Raja di Besut kerana disyaki terbabit dengan kegiatan memperoses air daun ketum.

Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Supt Noor Zainy Mohd Noor berkata atas maklumat yang diperolehi sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik telah membuat serbuan ke atas sebuah rumah tanpa nombor di kampung berkenaan jam 3.00 petang semalam dan berjaya menahan suspek yang dipercayai sedang memperoses air ketum.

    

"Ketiga-tiga suspek termasuk sepasang warga emas itu ditahan untuk soal siasat di bawah Seksyen 30 Akta Racun 1952," katanya kepada pemberita semalam.

    

Dalam satu lagi kejadian polis turut menahan seorang suspek lelaki berumur 34 tahun di Kampung Kubang Ikan dekat kampong Raja kira-ira jam 10.30 pagi semalam kerana memiliki dadah.

    

Katanya bertindak atas maklumat awam polis yang menyerbu sebuah rumah tanpa nombor di kampong berkenaan berjaya menemui 20 biji pil dipercayai dadah yang disorokkan di dalam baju dan seluar suspek.

    

Turut dirampas sejumlah wang tunai RM182.00 dipercayai hasil jualan dadah kepada penagih tempatan dan ujian air kencing mendapati suspek positif dadah.

- Bernama