Pemuda PKR seru rakyat bangkit tolak AES
Pemuda PKR (AMK) hari ini menyeru rakyat bangkit menolak Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES), termasuk menyertai perhimpunan membantah sistem mengesan pesalah lalu-lintas itu yang dianjurkan di Ipoh esok.
"AMK menyeru rakyat untuk bangun menentang kezaliman kerajaan BN dan mendesak agar saman rakyat 1Malaysia AES ini dimansuhkan.
"AMK juga menyokong himpunan rakyat membantah pelaksanaan AES di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Ipoh pada hari Rabu ini (esok) jam 10 pagi," kata Timbalan Setiausaha AMK Mohd Saifullah Mohd Zulkifli ( kanan ).
Dalam kenyataannya hari ini, Mohd Saifullah juga berkata, dianggarkan RM5 bilion daripada "saku rakyat" masuk ke poket kerajaan dan syarikat yang mengendalikan sistem itu.
Katanya, sejak mula dilaksanakan pada 23 September lepas, seramai 63,558 rakyat disaman dalam masa 8 hari pelaksanaan di 14 kawasan menggunakan 831 buah kamera.
"Ini jelas membebankan rakyat hasil tindakan kerajaan BN. Lebih malang kepada rakyat, Bajet 2013 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah menaikkan beberapa barang keperluan rakyat termasuk gula," katanya.
Mohd Saifullah juga berkata, ketika sistem pengangkutan awam yang lemah memaksa rakyat untuk berkenderaan, kerajaan BN terus menekan rakyat dengan saman melalui pelaksanaan AES.

