Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku ke-tiga 2012 dijangka lebih rendah berikutan pengurangan catatan perangkaan perdagangan bagi sukuan itu, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Husni Hanadzlah.

    

Bagaimana pun, negara ini masih berada pada landasan mencapai sasaran KDNK 4.5 peratus hingga 5.0 peratus bagi 2012.

ahmad husni hanadzlah "Kita percaya suku ke-tiga lebih rendah daripada suku kedua. Ini disebabkan keadaan ekonomi global. Ia tidak meningkat dan berikutan itu memberi kesan terhadap perdagangan," katanya kepada pemberita selepas pelancaran Forum Kewangan Islam Kuala Lumpur 2012 (KLIFF 2012) kesembilan hari ini.

    

Perdagangan keseluruhan Malaysia pada Ogos turun kepada RM104.84 bilion berbanding dengan RM106.17 bilion pada tempoh yang sama tahun lepas.

    

Baru-baru ini, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) berkata Asia akan terus menjadi kuasa ekonomi global tetapi memberi amaran bahawa wujud peningkatan risiko bahawa pertumbuhan di rantau ini boleh menurun kepada paras yang kali terakhir dilihat semasa krisis kewangan global.

    

IMF menjangka ekonomi rantau Asia mengembang 5.9 peratus pada 2013, iaitu  0.7 mata peratusan di bawah anggaran April, katanya dalam satu kemaskini kepada tinjauan ekonomi serantau.  

    

Katanya penurunan ekonomi China terus merupakan kebarangkalian

risiko yang rendah tetapi memberi amaran bahawa senario sedemikian akan memberi impak yang signifikan pada ekonomi-ekonomi Asia, jika ia berlaku.

    

Ekonomi Malaysia mengukuh kepada 5.4 peratus pada suku kedua 2012  berbanding dengan 4.9 peratus pada sukuan sebelum itu, yang diterajui oleh pengembangan berterusan sektor perkhidmatan dan pembuatan.

    

Katanya KDNK suku kedua dijangka menjadi paling tinggi yang dicatatkan pada 2012.

    

Menurutnya, kesan ketidakstabilan suku ke-tiga tidak akan memberi  kesan pada ekonomi Malaysia.

    

Sementara itu, semasa berucap sebelum itu, Husni berkata wujud keperluan untuk mengembangkan kerangka syariah bagi menyediakan penyelesaian terhadap individu kaya, bagi menyeimbangkan rukun Islam dengan kecanggihan dan realiti keperluan kewangan, perundangan dan percukaian semasa.

    

Katanya dengan mengembangkan julat struktur nilai tambah, produk dan perkhidmatan, industri pengurusan kekayaan berada pada kedudukan untuk  memainkan peranan utama di dalam mempelbagaikan risiko di seluruh sistem.

    

"Pada masa yang sama, ia meningkatkan pelaburan langsung domestik negara di dalam pasaran secara keseluruhan, kecairan pasaran sekunder dan peluasan kumpulan bakat dan kepakaran teknikal."

    

"Sejak 10 tahun lepas, industri pengurusan domestik kita telah  berkembang dengan pantas. Perkembangan ini disokong oleh langkah penyahkawalseliaan yang berurutan secara berhemah, terutama sekali berkaitan akses ke pasaran mendapatkan Produk dan perkhidmatan serta pembukaan rangkaian pengedaran di

dalam industri itu," kata Husni.  

Aset Islam global telah berkembang kepada purata 15 peratus kepada 20 peratus setahun sejak 10 tahun lepas bagi mencecah US$1.3 trilion pada 2011.

    

Husni berkata kerajaan juga telah mengukuhkan standard bagi perlindungan pelabur dengan meningkatkan pendedahan dan standard tadbir urus.

    

"Berikutan itu, Aset yang Diuruskan (AUM) kita berkembang pada kadar terkompaun 21 peratus setahun daripada RM55 bilion pada 2000 kepada RM377 bilion pada 2010," katanya.

    

AUM Malaysia dianggarkan berkembang kepada RM1.6 trilion pada  2020.

    

KLIFF 2012 adalah forum dua hari mulai hari ini dan dianjurkan oleh  Pusat Penyelidikan dan Latihan dengan kerjasama Hisham, Sobri dan Kadir, Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia dan Amanie Advisor.

    

Forum itu telah mengumpulkan para cendekiawan, pengamal, pemain

industri dan orang ramai yang berminat di dalam perbankan dan kewangan Islam.

    

- Bernama