5.78 juta jemputan hari Merdeka dihantar melalui SMS
Kerajaan menghantar 5,782,000 jemputan sambutan hari Merdeka melalui SMS kepada orang awam melalui pembekal perkhidmatan telekomunikasi Celcom, Maxis, DiGi dan U-mobile, demikan menurut seorang timbalan menteri.
Bagaimanapun, jutaan SMS yang dihantar itu tidak membabitkan wang pembayar cukai kerana semuanya ditaja.
Timbalan Menteri Penerangan, Kebudayaan dan Komunikasi, Datuk Joseph Salang (kiri) memberitahu Dewan Rakyat semalam bahawa kosnya ditanggung sepenuhnya oleh penyedia perkhidmatan terbabit.
Salang memberitahu demikian ketika menggulung bagi kementeriannya di peringkat dasar perbahasan Bajet 2013.
Katanya, penghantaran SMS itu dapat dilakukan dengan jasa baik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, badan yang mengawal selia syarikat telekomunikasi.
Perkara itu telah dibangkitkan oleh ahli parlimen semasa perbahasan peringkat dasar Rang Undang-Undang Perbekalan 2013.
Untuk sambutan hari Merdeka itu, Salang berkata, kementeriannya telah membelanjakan sejumlah RM5.4 juta.
Kementerian berkenaan menganjurkan sambutan Hari Merdeka di Stadium Bukit Jalil, di mana jemputan kepada orang ramai menghadirinya dihantar melalui SMS.

