Kerajaan Selangor akan memperkenalkan skim baharu untuk program pemutihan kilang haram bagi membolehkan pemilik kilang dan pemilik tanah yang mahu menukar status tanah pertanian kepada komersil, membayar premium tanah secara ansuran.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bagaimanapun berkata, pemilik kilang dan pemilik tanah perlu membuat bayaran penuh premium sekiranya menjual tanah kepada pihak ketiga.

Skim ini mirip kepada Skim Pemilikan Tanah untuk Kediaman Tetap yang membolehkan pemilik tanah hanya perlu membayar premium RM1,000 untuk mendapatkan geran atau memanjangkan tempoh pajakan tetapi perlu membayar premium penuh mengikut kadar semasa jika menjualnya kepada pihak ketiga.

Beliau berkata demikian pada sesi dialog dengan kira-kira 200 pengilang dan pemilik tanah Kampung Baru Sungai Buloh di Dewan Banquet, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA ), semalam.

Menteri besar berkata, kerajaan Selangor sentiasa membantu pengilang mengembangkan perniagaan tetapi pada masa yang sama mahu memastikan pengilang mematuhi peraturan seperti yang disasarkan menerusi Program Pemutihan Kilang Haram.

"Program pemutihan tidak membenarkan mana-mana pihak bertindak sebagai orang tengah atas nama penasihat atau ejen. Jika pengilang dan pemilik tanah ada masalah, mereka perlu berjumpa terus dengan pihak berkuasa tempatan,"katanya.

Dalam perkembangan sama, menteri besar menegaskan, tarikh tamat tempoh program pemutihan kilang haram yang akan berakhir Disember ini, tidak dilanjutkan lagi.

Justeru, beliau menasihatkan pengilang dan pemilik tanah menghantar permohonan dengan segera untuk mengelak tanah diambil alih oleh kerajaan negeri.

"Jika kerajaan negeri ambil alih tanah pertanian yang tidak ditukar kepada status komersil, maka bayaran pampasan yang diberi adalah mengikut harga tanah pertanian.

"Jika tanah ditukar status komersial tetapi pemiliknya tiada perancangan untuk membangunkannya dan mahu menyerahkan kepada kerajaan negeri, sekurang-kurangnya pampasan dibayar lebih tinggi," katanya.