Sebanyak 1,000 rumah rakyat miskin di kawasan Parlimen Nibong Tebal akan dibaik pulih mulai November menggunakan sebahagian peruntukan RM2 juta yang diumumkan perdana menteri April lepas, kata Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman

    

Peruntukan RM2 juta yang dinyatakan Datuk Seri Najib Tun Razak itu ialah untuk penyelenggaraan perumahan bertingkat dan mengecat semula 1,800 unit di 10 perumahan pangsa.

    

Zainal Abidin yang juga penasihat Kementerian Kemajuan Luar Bandar dannWilayah berkata beliau telah memohon peruntukan itu untuk melaksanakan projek mengecat semula rumah pangsa dan membaiki bumbung serta lantai rumah rakyat miskin di Nibong Tebal.

    

Beliau berkata Umno Pulau Pinang dalam pada itu kecewa kerana kerajaan negeri tidak memberikan kerjasama kepada pihak kontraktor untuk menjalankan kerja mengecat di dua rumah pangsa yang di bawah penyelenggaran kerajaan negeri.

    

Pihak kontraktor menghadapi pelbagai masalah antaranya tidak dibenarkan menggunakan bekalan air dan peralatan mengecat turut tidak dibenarkan ditinggalkan di kawasan perumahan, katanya kepada pemberita selepas Majlis  Pelancaran Program Penyelenggaraan Perumahan Bertingkat di Taman Desa Jawi di Nibong Tebal hari ini.

    

Dalam perkembangan lain, Zainal Abidin menggesa Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) memberi penjelasan mengenai tindakan mengadakan pemilihan jawatankuasa kariah masjid di negeri ini dan menunjukkan bukti bahawa tindakan itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.

    

Katanya sebelum ini MAIPP telah cuba menganjurkan pilihan raya kariah masjid pada 2011 tetapi Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin ketika itu menitahkan supaya ia ditangguhkan.

    

"Kami (Umno negeri) mendapat aduan daripada qariah masjid yang   maklumkan satu pemilihan jawatankuasa kariah masjid di Pulau Pinang akan diadakan mulai November," katanya.

    

Sementara itu Yang Dipertua MAIPP Datuk Salleh Man ketika dihubungi berkata pihaknya telah mendapat perkenan Tuanku Abdul Halim untuk mengadakan pemilihan berkenaan.

    

"Pihak Istana juga telah memberi perkenaan berhubung tatacara pemilihan jawatankuasa kariah masjid," katanya.

- Bernama