Petani Cherang Rotan rugi RM7j bendang kering
Seramai 617 petani di bendang Cherang Rotan di Pasir Puteh mengalami kerugian yang dianggarkan hampir RM7 juta apabila 2,800 hektar sawah padi musim lepas rosak akibat kekeringan air.
Pengerusi anggota Jemaah Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang Kawasan Cherang Rotan (PPKCR), Tengku Hussin Tengku Abdul Rahman berkata ini disebabkan kemerosotan paras air di Sungai Kelantan yang menyebabkan pam air di Sungai Kemubu tidak dapat berfungsi dengan sepenuhnya.
"Kekeringan air dibendang memberi peluang kepada musuh tanaman seperti kesing kura-kura, tikus dan rumput-rampai memusnahkan tanaman mereka yang hampir boleh dituai," katanya kepada pemberita di bendang Kampung Permatang Rambai hari ini.
Beliau berkata sebahagian besar pokok padi menjadi kekeringan terutama di Kampung Permatang Rambai, Seligi, Kampung Lepah dan Berangan.
Akibatnya mereka tidak dapat menjelaskan hutang input seperti benih padi, upah tenggala dan racun dengan PPKCR berjumlah hampir RM300,000.
Tengku Hussin merayu kerajaan negeri dapat mengurangkan aktiviti menyedut pasir di Sungai Kelantan dan pembukaan tanah yang tidak terancang di kawasan hulu Kelantan yang menjadi penyebab masalah itu sejak tiga tahun lepas.
Seorang petani di Kampung Berangan, Mariam Awang, 68, berkata tanaman padinya lebih dua hektar rosak teruk menyebabkan beliau kehilangan hasil sebanyak RM11,000.
Ketua blok Kampung Lepah, Che Shafie Nor, 44, berkata tanaman padinya seluas lima hektar rosak menyebabkan beliau kehilangan hasil sebanyak RM40,000.
Jurucakap kepada petani Kampung Seligi dan Permatang Rambai, Ali Kadir, 63, berkata, lebih 50 hektar tanaman padi di kedua-dua kampung berkenaan mengalami kerosakan teruk.
Beliau merayu kerajaan negeri dan persekutuan dapat membantu mereka bagi meringankan beban untuk melunaskan hutang dan menyara perbelanjaan persekolahan anak serta keluarga.
"Mereka tiada pekerjaan lain hanya tanaman padi sahaja yang menjadi punca rezeki mereka sejak turun temurun," katanya.
- Bernama

