NGO dakwa pengurusan Pasar Seni macam 'ah long'
Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS) mendesak agar pemilik bangunan Pasar Seni, UDA Holding Berhad menukar pihak pengurusan baru bangunan warisan itu.
Presidennya Mohd Ridzuan Abdullah mendakwa, peniaga Pasar Seni sekarang "ditindas", antaranya dikenakan caj tambahan sebanyak 12 peratus jika sewa lambat dibayar.
"Pihak pengurusan sekarang macam Ah Long. Kalau lambat bayar sewa, peniaga akan dikenakan caj tambahan sebanyak 12 peratus," kata Ridzuan pada sidang media di perkarangan Pasar Seni di ibu negara hari ini.
Ridzuan juga mengumumkan akan mengadakan protes dua minggu lagi di tempat itu sebelum memanjangkan isu itu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Sementara itu, bekas peniaga kraftangan Mohammad Zainahar Yuzkhairi turut tampil dalam sidang media itu mendakwa diarahkan keluar oleh pihak pengurusan Pasar Seni serta-merta pada 2 Oktober lalu.
Sambil bergenang air mata, Zainahar (
kanan
) mendakwa, pihak pengurusan tidak memberi sebab mengapa beliau "dihalau" daripada premisnya.
"Pada 2 Oktober lalu, semasa sedang buat kerja, tanpa ada surat amaran atau sebarang sebab, beberapa orang peguam dan pihak pengurusan telah datang tunjuk surat peguam dan surat sita dan arah saya keluar dari premis saya serta merta.
"Saya keluar sehelai sepinggang. Saya perlu menyara tiga orang anak dan isteri. Saya sekarang dah tak tahu nak buat apa dan masih terkejut dengan apa yang berlaku," katanya yang telah menyewa di Pasar Seni sejak 1991.
Beliau juga mendakwa sewa kedainya sebelum ini juga dinaikkan jauh lebih tinggi dengan sewa kedai milik rakan-rakannya daripada RM1,000 kepada RM2,500 sebulan.
Pihak pengurusan Pasar Seni, Kha Seng Group dalam kenyataannya selepas itu bagaimanapun mempertahankan caj itu kerana ia "kadar biasa" pusat membeli belah di negara ini.

