MB: Hanya 24 orang, bukan 11.6% cicir tingkatan 1
Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said hari ini menafikan dakwaan PAS bahawa terdapat 11.6 peratus murid darjah enam di negeri ini tercicir untuk memasuki tingkatan satu.
Beliau menegaskan mengikut rekod Pejabat Pelajaran Terengganu, hanya 24 daripada 24,000 murid darjah enam pada tahun 2011 tidak menyambung pelajaran ke sekolah menengah tahun ini.
"Mereka ini tidak menyambung pelajaran bukan kerana kemiskinan, tetapi sikap ibu bapa yang tidak memberi penekanan terhadap pelajaran anak-anak mereka, selain murid itu sendiri tidak minat belajar.
"Kemiskinan bukanlah punca anak-anak di Terengganu tercicir. Ini kerana pelbagai bantuan kerajaan sediakan untuk mereka," katanya kepada pemberita pada majlis pemuafakatan kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) di Marang hari ini.
Ahmad mengulas dakwaan PAS menerusi risalah yang diedarkan parti itu bertajuk 'Terengganu Kite....Beberapa Fakta Yang Perlu Anda Tahu'.
Ahmad berkata kalau keluarga pelajar tersebut miskin, mereka boleh minta bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan bantuan lain daripada kerajaan.
"Tak tahulah kalau mereka ini anak-anak orang PAS yang tidak mahu jumpa wakil rakyat serta tidak mahu menerima bantuan dari kerajaan," katanya.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Gagasan Negeri Terengganu, kebanyakan murid sekolah rendah tidak melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah disebabkan kecenderungan mereka memilih institusi pengajian tajaan PAS seperti yang terdapat di Rusila dan Kubang Bujuk dekat Marang selain mengikut keluarga berpindah ke negeri lain.
Sementara itu, Ahmad menasihati pelajar Terengganu yang melanjutkan pelajaran ke luar negara terutama di Timur Tengah supaya jangan terlibat dengan perkara yang tidak berfaedah.
Katanya mereka hendaklah menghormati undang-undang negara berkenaan bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini.
- Bernama

