MRT Corp anugerah 3 lagi kontrak kerja sistem RM107.3j
Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) menganugerahkan tiga lagi pakej kerja sistem yang bernilai RM107.3 juta kepada beberapa syarikat termasuk sebuah usaha sama dan sebuah konsortium.
MRT Corp dalam satu kenyataan berkata usaha sama antara AFS Engineering (M) Sdn Bhd dan ST Electronics Ltd telah dianugerahkan kontrak bernilai RM23.24 juta bagi membekalkan kemudahan SCADA untuk laluan MRT Sungai Buloh-Kajang.
SCADA digunakan bagi memantau dan mengawal proses perindustrian, kata syarikat itu.
MRT Corp juga menganugerahkan kontrak bagi kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan, pengujian dan penugasan sistem kawalan akses elektronik bagi projek itu yang bernilai RM41.05 juta kepada sebuah konsortium yang dianggotai oleh Apex Communication Sdn Bhd dan Johnson Controls (M) Sdn Bhd.
Sementara itu, ia berkata pakej kerja bagi pembekalan sistem pengurusan bangunan yang bernilai RM43.04 juta telah diberikan kepada Metronic Engineering Sdn Bhd.
- Bernama

