'Isu dana RM40j Umno Sabah permainan pembangkang'
Naib Presiden Umno Datuk Seri Shafie Apdal hari ini enggan mengulas kontroversi sumbangan politik RM40 juta yang disumbangkan oleh seorang ahli perniagaan kepada Umno Sabah.
Katanya, isu sebenarnya cuba dipolitikkan oleh pembangkang.
"Saya tak perlu komen. Pembangkang, ini kerja dialah (mempolitikkan isu ini)," kata menteri pembangunan luar bandar ketika diminta memberi reaksi terhadap desakan pembangkang dalam isu itu.
Sebelum ini, pemimpin popular DAP Lim Kit Siang menggesa kerajaan menubuhkan suruhanjaya diraja untuk menyiasat dakwaan penyeludupan dana asing ekoran penerimaan dana itu.
Isu itu mula timbul apabila usahawan Sabah Michael Chia didakwa ditahan pihak berkuasa Hong Kong sewaktu hendak berlepas ke Kuala Lumpur dengan wang tunai AS$16 juta (RM40 juta) pada Ogos 2008.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz pada 22 Oktober lalu bagaimanapun menegaskan Chia tidak pernah ditangkap badan antirasuah Hong Kong berkaitan wang itu.
Suruhanjaya Bebas Menentang Rasuah (ICAC) Hong Kong sewaktu dihubungi Malaysiakini pula enggan mendedahkan sebarang butiran berkaitan kes itu.

