Seorang tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) warga Iraq melancarkan mogok lapar sejak 8 Oktober lalu bagi menuntut pembebasan segera dapat dilaksanakan, dakwa Gerakan Mansuhkan ISA (GMI).

Pengerusinya Syed Ibrahim Syed Noh berkata, berdasarkan maklumat hasil lawatan ke Kem Kamunting pada 16 Oktober lalu, Sami Hammood Yaseen Al Kashish mula mogok kira-kira tiga minggu lalu.

NONE "Menurut pihak peguam, hasil pertemuan dengan Sami, beliau mula bermogok lapar pada 8 Oktober," katanya sambil mendakwa keadaan tahanan "tidak stabil".

Justeru, Syed Ibrahim ( kiri ) menuntut agar Kem Tahanan Kamunting membenarkan peguam GMI hadir bersama doktor bagi memeriksa kesihatan Sami kerana sekiranya mogok itu diteruskan, ia boleh membahayakan nyawa.

Dalam kenyataannya, beliau juga berkata, "kezaliman" ISA tidak akan berakhir sekiranya Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein terus ego dan enggan membebaskan tahanan.

"GMI juga mengulangi desakan agar kerajaan Malaysia segera membebaskan kesemua baki tahanan ISA seramai 29 orang.

"Kerajaan juga perlu menubuhkan suruhanjaya rekonsiliasi bagi menyiasat semua penderaan yang berlaku terhadap tahanan ISA.

"Kesemua individu yang menyebabkan penderaan dan seksaan ke atas tahanan ISA perlu dihadapkan ke muka pengadilan.

"Pampasan yang setimpal juga perlu diberikan kepada mangsa ISA dan keluarga mangsa. Hanya dengan cara ini segala kezaliman yang berlaku akibat akta zalim ISA dapat diperbetulkan," katanya lagi.