P Pinang hapus 'kontrak kroni' untuk lupus sisa pepejal
Kerajaan Pulau Pinang telah menandatangani satu kontrak dengan PLB Terang Sdn Bhd untuk menguruskan pelupusan sisa pepejal di Pulau Burung.
Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata kerajaan negeri telah dapat menghapuskan "projek kroni", di mana rakyat dikenakan bayaran yang tinggi tanpa mendapat apa-apa faedah.
"Kerajaan negeri mengadakan perundingan dengan syarikat yang menguruskan sisa apabila kontrak berakhir pada Julai 2009," kata Lim (kanan) di majlis menandatangani kontrak tersebut hari ini.
"(Kami telah) dapat mengurangkan kos (sebanyak) RM11.2 juta setahun atau (sebanyak) 42.4 peratus (sepanjang) tiga tahun."
Lim berkata, dua majlis perbandaran (Pulau Pinang dan Seberang Perai) telah dapat menjimatkan RM33.5 juta di kawasan ini, dan membuktikan sekali lagi keberkesanan dasar CAT (kecekapan, akauntabiliti dan ketelusan) yang diamalkan kerajaan negeri.
Pertukaran syarikat konsesi itu dapat dilakukan selepas Pulau Pinang menarik diri daripada skim penswastaan pengurusan sisa pepejal di bawah Akta 672, dan memutuskan untuk menjalankan kerja tersebut melalui mekanisme majlis tempatan sendiri.
Sementara itu, Lim berkata, kos pengurusan sisa pepejal sejak tahun 2001 adalah kira-kira RM500 juta, ketika harga lebih rendah pada waktu itu.
"Dengan kontrak baru, kosnya ialah kira-kira RM300 (juta), walaupun apabila harga adalah lebih tinggi sekarang. Kita dapat menjimatkan sekurang-kurangnya RM200 juta. Itulah kebaikan tender terbuka. Ia membantu anda menjimatkan wang".

