Penangguhan tayangan filem kontroversi Tanda Putera tiada kaitan dengan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK), kata menterinya Datuk Seri Rais Yatim.

Beliau berkata, urusan penangguhan filem yang memuatkan babak 13 Mei itu bawah bidang kuasa pihak penapisan filem negara.

NONE "Itu terserah pada pihak berkuasa. Bukan kuasa menteri atau mana-mana pihak.

"Kalau pihak berkuasa penapisan arahkan kita akurlah," katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Inovasi 2012 di Muzium Negara, Kuala Lumpur hari ini.

Ketika ditanya sama ada penangguhan filem arahan Datuk Shuhaimi Baba itu ada kaitan dengan pilihan raya umum ke-13, Rais berkata: "Saya tak tahu hal itu."

Selasa lalu, Malaysiakini melaporkan Tanda Putera yang dikritik oleh pembangkang ditangguh buat kali kedua ke tahun hadapan.

Bagaimanapun, Shuhaimi enggan mengulas lanjut kenapa tayangan filem itu ditangguhkan.

Filem itu pada asalnya dijadual untuk tayangan bermula 13 September sebelum ditunda kepada 15 November atas alasan kekurangan promosi.

Ia memaparkan kisah perdana menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein dan timbalannya Tun Dr Ismail Abdul Rahman memulihkan negara susulan peristiwa 13 Mei 1969.

Menelan belanja RM4.8 juta, ia diterbitkan Pesona Pictures Sdn Bhd dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).