Rebat telefon pintar RM200 yang dicadangkan dalam belanjawan 2013 akan dilaksanakan pada 1 Januari tahun depan jika tiada halangan, kata Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Rais Yatim.

Bagaimanapun, Rais yang juga ahli parlimen Jelebu berkata beliau akan mengarahkan jawatankuasa khas yang mengkaji pelaksanaan rebat itu supaya meneliti harga telefon pintar.

NONE "Jika tiada aral melintang, 1 Januari kita boleh jalankan. Kalau telefon pintar dalam konteks sebenar, harganya lebih daripada RM500. Tetapi kalau diberi kepada mereka yang membeli telefon dengan harga RM502, tak layak terima rebat.

"Saya akan kemukakan pada jawatankuasa yang berkuasa dalam hal ini agar harga telefon pintar perlu diteliti," katanya dalam sidang media selepas merasmikan majlis sambutan Hari Inovasi 2012 di ibu negara pagi ini.

Rebat telefon pintar yang dicadangkan dalam belanjawan 2013 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mensasarkan penerimanya daripada golongan muda berumur 21 hingga 30 tahun.

Sehubungan itu, kerajaan memperuntukkan RM300 juta untuk rebat tersebut kepada kumpulan sasaran tersbut yang berpendapatan kurang RM3,000.