Rais: Undang-undang perlu selaras perkembangan teknologi
Beberapa undang-undang berkaitan teknologi perlu dipinda supaya selaras dengan perkembangan teknologi yang semakin pesat, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Rais Yatim.
Beliau berkata untuk itu, kementerian itu akan mengkaji beberapa perundangan yang dilihat tidak sesuai lagi dengan perkembangan teknologi semasa.
Contohnya istilah warisan yang digunakan dalam Akta Warisan Kebangsaan 2005, isu perlindungan data peribadi di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 serta beberapa kesalahan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, termasuk hak-hak kebebasan berbanding kepentingan awam, perlu dikaji semula, katanya.
"Ini akan kita kemukakan (kepada Kabinet). Dari aspek inovasi, ia melibatkan pemikiran baharu supaya selari dengan perubahan teknologi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Inovasi 2012 kementerian itu di Muzium Negara di ibu negara hari ini.
Turut hadir isteri Rais, Datin Seri Masnah Rais, Timbalan Menteri Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) Datuk Joseph Salang dan Ketua Setiausaha KPKK Datuk Seri Kamaruddin Siaraf.
Rais juga menyarankan penjawat awam sentiasa melakukan inovasi dalam mempertingkatkan penyampaian mereka, bermula dengan perubahan cara berfikir termasuk oleh para pemimpin jabatan.
"Oleh itu, pada tahun depan kita harap KPKK dapat wujudkan tenaga-tenaga pemikir yang boleh membawa kepada penggunaan inovasi yang lebih bererti dan memberi khidmat cemerlang dalam perkhidmatan masing-masing," katanya.
Terdahulu, Rais menyampaikan hadiah kepada para pemenang pertandingan sempena Hari Inovasi 2012.
Pembantu tadbir di Meja Rencana Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Maznah Abu Bakar diumumkan juara bagi pertandingan Penulisan Esei Inovasi manakala Mohd Fazlin Ariffin dari Jabatan Penerangan Malaysia memenangi tempat pertama pertandingan Reka Cipta Logo Inovasi.
Sementara Istana Budaya memenangi tempat pertama pertandingan Inovasi Terbaik melalui 'Rebab Harmoni' yang membawa pulang wang tunai RM5,000 serta piala.
Bernama turut memenangi tempat kedua pertandingan Keceriaan Pejabat Terbaik dengan tempat pertama menjadi milik Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR).
-Bernama

