Bedah siasat banduan 'mati kerana AIDS'
Bedah siasat sedang dijalankan ke atas mayat R Kumarajah, yang menurut polis meninggal dunia akibat AIDS di Penjara Kajang pada hari Isnin.
Bedah siasat itu bermula tengah hari tadi dan ia akan mengambil masa kira-kira tiga jam untuk disiapkan, kata aktivis hak asasi manusia PKR, S Jayathas kepada Malaysiakini.
Jayathas, bersama dengan wakil Lawyers for Liberty, G Sivamalar, ahli keluarga Kumarajah, majistret Abdul Jalil dan ASP Suresh dari balai polis daerah Kajang, telah diberi taklimat mengenai prosedurnya oleh ketua forensik Hospital Serdang, Dr Zuraidah.
Jayathas berkata dalam rundingan awalnya dengan Zuraidah, beliau
dimaklumkan bahawa perut Kumarajah kembung ketika dia ditemui mati.
Ibu Kumarajah, M Sooriakandhi (kanan) telah membuat laporan polis mencabar keadaan kematiannya.
Sooriakandhi juga membuat rayuan kepada Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Abu Seman Yusop di lobi Parlimen semalam, meminta bedah siasat dilakukan ke atas anaknya.
Dia tidak puashati dengan laporan bahawa anaknya mati akibat AIDS kerana mendakwa Kumarajah sihat apabila dia melawat anaknya itu di Penjara Kajang Selasa lepas.
Kumarajah, yang telah disabitkan atas kesalahan mencuri motosikal pada tahun 2011, meninggal dunia dalam keadaan misteri dan lokasi sebenar kematiannya tidak pasti. Dia dijadualkan dibebaskan pada bulan Februari.
Ketua Polis Daerah Kajang Abdul Rashid Abdul Wahab ketika dihubungi pada hari Selasa mengesahkan bahawa Kumarajah telah meninggal dunia akibat AIDS. Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

