Pertandingan mengeja: NSTP, TV3 menang rayuan
New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) dan Sistem Televisyen Malaysia (TV3) memenangi rayuan di Mahkamah Rayuan Putrajaya semalam untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa mereka menciplak idea daripada kertas konsep sebuah syarikat pendidikan dalam pertandingan mengeja 'NST-SPELL-IT-Right' yang disiarkan oleh TV3 pada 2008.
Panel tiga anggota yang diketuai Hakim Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus sebulat suara membenarkan rayuan NSTP untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa NSTP menciplak idea itu daripada Admal Sdn Bhd.
Ketika dihubungi, peguam Isa Aziz Ibrahim yang mewakili Admal berkata Hakim Hishamudin memutuskan bahawa tiada keterangan mencukupi berkaitan pelanggaran hak cipta.
Panel itu yang turut dianggotai Hakim Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin dan Anantham Kasinater memerintahkan Admal supaya membayar kos perundangan RM40,000 bagi prosiding di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.
Pada 1 Ogos tahun ini, Mahkamah Tinggi membenarkan saman sivil Admal terhadap NSTP dan TV3, dengan memutuskan bahawa syarikat itu menciplak idea itu daripada Admal.
Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Hanipah Farikullah turut memutuskan bahawa dengan menyiarkan pertandingan itu pada 2008, tanpa kebenaran daripada Admal, TV3 turut melanggari hak Admal dan melanggari amanah berkaitan maklumat sulit yang dinyatakan kepada mereka.
Mahkamah Tinggi turut membenarkan tuntutan Admal bagi ganti rugi yang akan dinilai oleh mahkamah.
Admal memfailkan saman pada 3 Mei tahun lepas terhadap NSTP dan TV3 memohon gantirugi RM10 juta kerana pelanggaran hak cipta dalam konsep pertandingan 'NST-SPELL-IT-RIGHT' dan memungkiri kepercayaan.
Syarikat itu mendakwa ia adalah pemilik hak cipta pertandingan mengeja 'NST-SPELL-IT-RIGHT' dan defendan, tanpa kebenaran daripada plaintif, melancarkan pertandingan mengeja 'NST-SPELL-IT-RIGHT'.
Syarikat itu berkata pada Januari 2005, ia mengadakan beberapa perbincangan dengan NSTP serta membentangkan kertas konsep itu dan kedua-dua pihak bersetuju untuk menamakannya 'NST-SPELL-IT-RIGHT'.
Sementara itu, Isa Aziz berkata anak guamnya sedang menimbang untuk membawa perkara itu ke Mahkamah Persekutuan untuk memohon kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan itu.
NSTP dan TV3 diwakili peguam Liew Teck Huat, Lim Qi Si dan Rishwant Singh.
- Bernama

