NGO rancang demo bantah keganasan penguatkuasa
Sekumpulan 30 NGO merancang untuk mengadakan perhimpunan di Dataran Merdeka bagi menuntut supaya agensi penguatkuasa menghentikan keganasan terhadap orang awam.
Wakil NGO, Dr Irene Fernandez berkata, perhimpunan pada 9 Disember itu dirancang memandangkan terdapat banyak kes serius melibatkan keganasan polis dan juga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Irene berkata, perhimpunan itu juga bagi mendesak menteri dalam negeri, ketua polis negara dan ketua pesuruhjaya SPRM membersihkan nama pasukan masing-masing dengan melaksanakan tujuh tuntutan mereka.
Beliau mendakwa, agensi berkenaan "memiliki sejarah dengan reputasi keganasan, sikap suka menembak sesuka hati, kebal hukuman undang-undang dan bertindak sebagai pelindung orang kaya."
"Menteri, ketua polis negara dan ketua pesuruhjaya (SPRM) bertanggungjawab untuk memulihkan keyakinan orang ramai terhadap kepercayaan dan profesionalisme dalam pasukan polis, SPRM dan agensi penguatkuasaan lain," katanya pada sidang media di ibu negara hari ini.
Antara kes melibatkan penguatkuasa berkenaan yang menarik perhatian sebelum ini ialah kejadian pada Ogos lalu - melibatkan seorang lelaki, Dinesh Darmesena, 26 yang ditembak mati oleh polis di Ampang.
Sebelum itu, kes melibatkan pegawai kanan kastam Ahmad Sarbaini Mohamed yang ditemui mati di pejabat SPRM Kuala Lumpur pada April lalu turut menjadi tumpuan.
Terdahulu pada April 2010, kes melibatkan seorang remaja Aminulrasyid Amzah, 15, yang ditembak mati oleh pihak polis di Shah Alam juga menjadi perhatian utama.
Irene juga berkata, NGO berkenaan sebelum ini telah menjalankan pelbagai usaha untuk menyuarakan kebimbangan mereka terhadap keganasan yang dilakukan.
"Akhirnya nanti imej mereka yang akan rosak. Kerajaan tidak pernah ambil kisah dengan apa yang kita suarakan, memorandum yang diberi dan sebagainya.
"Jadi, inisiatif ini diambil bagi menghentikan keganasan yang dilakukan bagi mengubah dan memulihkan negara," katanya.
Selain itu, kumpulan itu juga akan menjalankan program jelajah dan satu forum pada 6 November untuk menerangkan kempen tersebut.
Antara NGO yang akan turut serta ialah Tenaganita, Lawyers For Liberty, Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (Empower), Angakatan Warga Aman Malaysia (Warga AMAN) dan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI).
Tujuh tuntutan tersebut adalah:
- Bawa kesemua para pesalah di kalangan polis, SPRM dan agensi penguatkuasa lain ke hadapan pengadilan termasuk untuk pendakwaan jenayah berat dan tindakan disiplin yang sepadan dengan kesalahan
- Menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) bagi berfungsi sebagai lembaga pengawasan luaran serta bebas untuk menyiasat aduan tentang polis
- Menubuhkan sistem Hisbah (Ombudsmen) yang menguatkuasa amalan hak asasi manusia di dalam semua agensi penguatkuasaan dan tempat tahanan seperti penjara dan lokap
- Mengkaji semula dan umumkan ke pengetahuan orang ramai piawaian prosedur operasi (SOP) termasuklah Perintah Tetap Ketua Polis Negara berkenaan garis panduan polis untuk guna senjata api dan penahanan serta penyiasatan
- Menyokong penubuhan sistem Mahkamah Koroner bagi menggantikan Inkues Majistret
- Menyokong enakmen undang-undang anti penyeksaan yang menjadikan seksaan, layanan kejam dan menjatuhkan maruah sebagai jenayah
- Menyokong pendidikan dan program latihan hak asasi manusia.

