Pengerusi DAP, Karpal Singh memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bahawa apa yang diucapkan pada sidang media tiga tahun lalu berhubung krisis di Perak bukan merupakan hasutan.

Menjawab soalan peguam belanya, Gobind Singh Deo, Karpal berkata, kenyataannya itu adalah bagi mempersoal bagaimana Sultan Perak, Sultan Raja Azlan Shah menangani krisis tersebut.

"Saya tidak mempersoalkan hak mutlak Sultan tetapi (mempersoalkan) cara menanganinya," kata Karpal menjawab soalan Gobind.

Karpal dilepaskan oleh Mahkamah Tinggi pada 11 Jun 2010 daripada pertuduhan mengeluarkan perkataan berbaur hasutan terhadap Sultan Perak di firma guamannya di Jalan Pudu Lama pada 6 Februari 2009.

Bagaimanapun awal tahun ini, Mahkamah Rayuan telah memerintahkan Karpal membela diri terhadap pertuduhan tersebut.

Beliau didakwa telah mengeluarkan kenyataan bahawa pengguguran Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar oleh Sultan Perak boleh dipersoal di mahkamah.

Selain itu, Karpal berkata lagi, beliau memberi kenyataan pada sidang media tiga tahun lalu itu sebagai tugasnya seorang ahli parlimen.

"Menjadi tugas saya seorang ahli parlimen untuk memberitahu rakyat tentang pandangan dan aspek perundangan yang telah saya buat penilaian," katanya.

Dalam negara ini, tambahnya, tiada perkara yang lebih tinggi daripada perlembagaan, termasuk raja.

Perbicaraan hari ini berjalan di hadapan Hakim Azman Abdullah.

Turut hadir memberi sokongan ialah veteran DAP, Lim Kit Siang dan exco Selangor Ronnie Liu.