Lelaki maut dihempap pokok
Seorang pekerja sebuah stesen minyak maut dihempap sebatang pokok ketika berbasikal ke tempat kerjanya di Kota Sarang Semut dekat Alor Setar, petang semalam.
Ketika kejadian pada kira-kira 6 petang itu, mangsa Abdul Ghani Hashim, 58, ke tempat kerja dalam keadaan angin kencang dan hujan renyai.
Isteri mangsa, Pawan Awang, 44, berkata arwah suaminya keluar untuk ke tempat kerja yang terletak kira-kira sekilometer dari rumah mereka di Kampung Batu 11, Jalan Pendang pada 5.45 petang.
Abdul Ghani, yang bekerja selama 24 tahun sebagai juruwang di stesen minyak berkenaan, dikatakan menggunakan basikal untuk berulang alik ke tempat kerja dan bekerja pada waktu petang sejak empat tahun lepas.
Pawan berkata beliau berada di Pendang ketika menerima panggilan daripada abangnya, Ramli, 47, yang ke tempat kejadian bagi melihat keadaan mangsa.
Beliau berkata suaminya berada kira-kira 10 meter dari tempat kerja apabila sebatang pokok yang berada di tepi jalan tiba-tiba tumbang berikutan angin kencang dan menimpa mangsa dari belakang.
Abdul Ghani yang meninggal dunia di tempat kejadian, mengalami kecederaan serius di bahagian kepala dan badan.
Arwah meninggalkan seorang isteri dan dua anak iaitu Siti Nor Puspawati, 24, dan Mohd Irman, 10.
Jenazahnya dikebumikan di tanah perkuburan Islam Al-Islam, Kota Sarang Semut pada kira-kira 11 pagi ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar Superintenden Rohana Omar ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan mengklasifikasikan kes tersebut sebagai mati mengejut.
- Bernama

