13,250 anggota JK RT S'gor dapat kad diskaun
Seramai 13,250 anggota Jawatankuasa Rukun Tetangga (JKRT) di Selangor menerima kad diskaun yang membolehkan mereka menikmati potongan harga sehingga 50 peratus ketika membeli-belah di 250 buah kedai terpilih di negeri ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata pemilik kad diskaun itu boleh menggunakan kad berkenaan serta-merta bagi membeli barang dan produk yang ditawarkan di kedai yang mengambil bahagian.
"Pemilik kad yang juga merupakan anggota Jawatankuasa Rukun Tetangga boleh menikmati potongan harga lima sehingga 50 peratus daripada nilai barang dan potongan ini diberi bergantung pada perkhidmatan dan produk yang ditawarkan kepada pelanggan," katanya.
Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri majlis taklimat Akta Rukun Tetangga 2012 dan Pelancaran Kad Diskaun JKRT di Shah Alam semalam, beliau berkata tawaran diskaun itu merangkumi beberapa barangan seperti peruncitan, makanan dan minuman serta pusat rawatan atau salun kecantikan.
Katanya Selangor merupakan negeri pertama yang dipilih untuk pemberian kad diskaun kepada anggota JKRT sebelum diperluaskan ke negeri lain dalam tempoh terdekat.
"Di Selangor, kita mempunyai sebanyak 250 kawasan rukun tetangga dengan 25 anggota jawatankuasa di setiap kawasan... dengan pemberian kad ini, kita berharap ia mendorong lebih banyak kawasan rukun tetangga diwujudkan," kata Koh.
Mengulas lanjut, Koh berkata kad diskaun itu juga tidak hanya terhad kepada anggota JKRT semata-mata tetapi juga kepada golongan belia, wanita dan warga emas.
Beliau berkata inisiatif mewujudkan kad itu merupakan satu langkah penjimatan dan mampu mengurangkan kos perbelanjaan harian kepada golongan berkenaan.
"Dengan adanya insentif sebegini diharapkan peranan dan pembabitan orang ramai dalam Rukun Tetangga dapat membantu kerajaan serta pihak berkuasa dalam meningkatkan tahap keselamatan di kawasan kejiranan masing-masing," katanya.
-Bernama

