Sebuah NGO hari ini membuat laporan polis berhubung pemilikan bangunan Pasar Seni yang didakwa mereka diberi pajakan selama 75 tahun kepada sebuah syarikat bukan bumiputera.

NONE Presiden Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS), Mohd Ridzuan Abdullah (kanan) berkata, laporan polis itu juga dibuat supaya pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dakwaan tersebut.

Dalam laporan itu, IKHLAS mendakwa telah membuat semakan status Pasar Seni, dan mendapati pemilikan atas nama Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA Holding), diberi pajakan selama 75 tahun kepada sebuah syarikat bukan bumiputera.

Selain itu, dalam laporan polis itu, Ridzuan turut mendakwa syarikat tersebut menggadai tanah dan bangunan milik UDA itu kepada sebuah bank.

Menurut laporan itu lagi, IKHLAS menerima aduan daripada peniaga Melayu di Pasar Seni yang didakwa turut ditindas oleh pihak pengurusannya.

Selaku presiden IKHLAS, katanya dalam laporan tersebut, beliau menerima aduan daripada peniaga Melayu Pasar Seni Kuala Lumpur yang mendakwa mereka ditindas oleh pihak pengurusannya.

Sehubungan itu, Mohd Ridzuan yang juga seorang peniaga memberi masa seminggu kepada UDA Holding untuk mengambil alih semula bangunan itu.

Menurutnya, jika tidak pihaknya akan mengadakan himpunan di hadapan bangunan Pasar Seni Selasa depan.

Mohd Ridzuan yang turut diiringi tujuh penyokong, membuat aduan polis tersebut dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, 11.15 pagi ini.  

Pada 29 Oktober lalu, Ikhlas mendesak agar pemilik bangunan Pasar Seni, UDA Holding Berhad menukar pihak pengurusan baru bangunan warisan itu.  

Beliau turut mendakwa peniaga Pasar Seni sekarang "ditindas", antaranya dikenakan caj tambahan sebanyak 12 peratus jika sewa lambat dibayar.

Malaysiakini sedang berusaha untuk mendapatkan reaksi daripada pihak UDA dan syarikat yang dinamakan dalam laporan tersebut.

 

1. Pengurusan Pasar Seni pertahan caj 12%

2. NGO dakwa pengurusan Pasar Seni macam 'ah long'