Tangguh tayang Tanda Putera keputusan kabinet
dikemaskini Keputusan untuk menangguhkan tayangan filem Tanda Putera ke tahun hadapan diputuskan oleh jemaah menteri, kata Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Rais Yatim.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat setelah jemaah menteri mendapati terdapat unsur yang "kurang sesuai" untuk ditayangkan.
"Jemaah menteri telah memutuskan demi kebaikan antara kaum, penayangan wajar ditangguhkan sebab mengandungi babak yang mungkin menimbulkan konflik keras.
"Sebab ia memaparkan tragedi 13 Mei yang dipertikaikan oleh pelbagai pihak," kata Rais.
Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita selepas merasmikan Himpunan Kasih Sayang peringat Wilayah Persekutuan di Kampung Puah Lembah petang ini.

